Nasib Cikgu Fadli diketahui hari ini

No Image Caption
A
A
A

PERKONGSIAN seorang guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh pada Sabtu di media sosial mengenai kemungkinan tindakan tatatertib dihadapinya akibat membangkitkan isu berkaitan sistem pendidikan negara mendapat perhatian begitu meluas di dalam negara.

Mohd Fadli yang merupakan guru matematik sekolah rendah itu berkata, dia berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana didakwa menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk murid.

Dia berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan dirinya tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.

Katanya, hujah untuk mengatakan dia tidak menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangannya juga tidak tepat kerana dia pernah melakukannya termasuk melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), namun tidak mendatangkan sebarang kesan.

Selain isu silibus pembelajaran yang terlalu tinggi dan padat untuk guru dan murid, perkara lain dibangkitkan oleh Mohd Fadli adalah mengenai bilangan murid terlalu ramai di dalam kelas dan ketidakcukupan masa belajar untuk subjek teras terutamanya matematik.

Dia turut menyentuh mengenai keberadaan ‘Little Napoleon’ atau individu yang suka menunjukkan kuasa dalam sektor pendidikan negara sehingga menyebabkan kerosakan terhadap sistem pendidikan di Malaysia

Setakat laporan ini ditulis, hantaran perkongsian dibuat oleh Mohd Fadli itu telah dikongsikan oleh kira-kira 102,000 pengguna Facebook dan mendapat lebih 251,000 tanda suka

Dalam pada itu, paling awal memberikan reaksi pada Ahad adalah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Mohd Fadli untuk mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula memaklumkan beliau telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkhairuddin Ghazali pada petang ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, diharapkan situasi menang-menang dapat dicapai dalam penyelesaian isu tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali pada Ahad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum perkara dibangkitkan di media sosial berkaitan guru berkenaan.

Menurut beliau, surat yang dihantar kepada guru tersebut bukanlah surat yang membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib, sebaliknya ia bertujuan memaklumkan mengenai dakwaan diterima dan keperluan mengemukakan penjelasan bertulis.

Radzi pada Isnin berkata, keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung dakwaan salah laku Mohd Fadli yang merupakan guru matematik akan diserahkan kepadanya pada Selasa.

Katanya, keputusan itu akan dimaklumkan kepada guru berkenaan melalui ketua jabatan.

Mengulas mengenai perkara dibangkitkan guru berkenaan, Mohd Radzi berkata, ia telah diambil tindakan oleh kementerian sejak 6 Mac lalu antaranya melalui langkah penyusunan jadual waktu dan pemasangan lokar.

Selain itu katanya, silibus digunakan di sekolah adalah yang diperkenalkan sejak tahun 2007.