Pilih kerajaan yang menentang rasuah

PRU15 merupakan medan terbaik buat pengundi memilih mereka yang benar-benar layak mentadbir negara. Foto hiasan
PRU15 merupakan medan terbaik buat pengundi memilih mereka yang benar-benar layak mentadbir negara. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan medan terbaik buat pengundi memilih mereka yang benar-benar layak mentadbir negara bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia, kata Pemerhati Politik, Dr Mohammad Agus Yusoff.

Bekas Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu menjelaskan, kerajaan sebelum ini disifatkan tidak stabil disebabkan kemelut politik sesama mereka sehingga kerajaan silih berganti dengan tiga perdana menteri.

Menurutnya, ada beberapa petunjuk penting dalam memilih calon terbaik, antaranya mereka mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah utama setelah dipilih kelak.

“Apa yang penting parti yang perlu kita pilih ialah parti yang mampu memulihkan ekonomi negara, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tidak membodohkan rakyat, dapat menjaga maruah negara di pentas dunia, mengurangkan hutang negara, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, mensejahterakan rakyat, memerintah dengan adil, membangunkan negara secara seimbang dan lestari, mendapat kepercayaan pelabur, membina Malaysia yang cemerlang, dan menjamin kestabilan politik,” katanya menerusi catatan di Facebooknya baru-baru ini.

Mengenai prestasi pentadbiran kerajaan sebelum ini, beliau menilainya sebagai lemah.

“Sebabnya mudah: banyak duit negara dibazirkan dengan pelantikan kabinet yang gemuk dan jawatan-jawatan lain yang tidak penting sebagai habuan politik. Polisi negara pula banyak bersifat ad-hoc (sementara). Akhirnya, ekonomi negara, pasaran saham dan nilai ringgit jatuh.

“Jika ditegur, budaya penafian menguasai. Kita masih alergik pada pandangan berbeza. Dengan lemahnya prestasi kerajaan lepas, saya melihat sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) semakin meningkat.

“DAP masih menguasai kawasan majoriti kaum Cina, dan PKR masih menguasai kawasan separuh bandar kerana apabila undi Melayu berpecah, undi bukan Melayu akan membantu PKR,” katanya.

Tambahnya, di kawasan luar bandar yang majoritinya Melayu khususnya di Kelantan dan Terengganu, persaingan adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

“PH tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan pemimpin untuk bersaing di kawasan ini melainkan pemimpin dan calon berwibawa dapat ditonjolkan.

“Persoalannya, bolehkah dan sempatkah dalam waktu yang singkat ini? Di Sarawak, parti politik tempatan mendominasi. DAP boleh memenangi kerusi di tiga kawasan majoriti kaum Cina.

“Di Sabah, BN dan PN mempunyai kekuatan dengan gabungan parti-parti tempatan bersama mereka. PH jika hendak menang pun hanya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan,” katanya.

Justeru beliau berkata, senario berkenaan menunjukkan sukar bagi mana-mana parti untuk memenangi majoriti kerusi.

“Kerajaan ditentukan oleh kerjasama selepas PRU. BN mempunyai peluang besar untuk menguasai kawasan Melayu, PN juga di kawasan majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat Pas, dan PH di kawasan bukan Melayu dan separuh bandar. Jika ini berlaku, maka sekali lagi parti Sarawak dan Sabah akan menjadi king maker atau king breaker,” katanya.

Menilai semua itu Agus berkata, parti yang tidak bersatu memberi kelebihan kepada parti yang bersatu.

“Bersatu dan bekerjasama itu penting untuk menonjolkan imej perpaduan dan mendapat kepercayaan rakyat. Rakyat mahukan kerajaan kuat dan stabil. Jangan pendam dendam yang panjang dalam berpolitik,” katanya.