Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi tumpas

Ariffin (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang dirampas menerusi serbuan berasingan di sebuah rumah dan gudang di ibu kota pada Rabu.
Ariffin (kiri) menunjukkan minyak masak bersubsidi yang dirampas menerusi serbuan berasingan di sebuah rumah dan gudang di ibu kota pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima individu termasuk seorang lelaki warga asing diberkas dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan jumlah rampasan bernilai RM50,587.50 pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, penahanan ketiga-tiga suspek itu dilakukan menerusi serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Cawangan Risik Briged Tengah (Cheras) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.45 petang sebelum kes itu diserahkan kepada pihaknya pada Isnin bagi tujuan siasatan lanjut.

"Serahan pertama diterima melibatkan sitaan sebanyak 250 kotak minyak masak bersubsidi dianggarkan berjumlah RM10,625.00 di sebuah premis kediaman di ibu kota yang dipercayai menyimpan minyak masak bersubsidi tanpa lesen sah.

"Dalam operasi tersebut, pasukan PGA turut menangkap dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing yang berumur antara 23 hingga 32 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur, Segambut di sini pada Isnin.

Katanya, serahan kes kedua melibatkan sitaan sebanyak 705 kotak minyak masak bersubsidi yang dianggarkan berjumlah RM29,962.50.

"Serbuan yang dijalankan menyasarkan sebuah gudang di sebuah premis tidak beralamat di ibu kota dan berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan.

"Operasi sama turut menyita sebuah lori tangki yang digunakan untuk menyimpan minyak masak dan penyedut minyak masak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kerjasama ini menunjukan bahawa semua agensi penguatkuasaan memandang serius berkaitan ketirisan subsidi kerajaan dan akan digiatkan sepanjang masa.

"KPDNHEP Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi diberikan pihak kerajaan," katanya.

Jelasnya, subsidi yang diberikan adalah untuk dinikmati rakyat negara ini.

"Subsidi ini untuk rakyat dan bukannya untuk aktiviti penyelewengan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Mana-mana individu atau mana-mana pihak yang ingkar bakal menerima hukuman berat sepertimana ditetapkan undang-undang," katanya.