Kem Malaysia congak sasaran lebih realitistik

Mohd Yusof. - Foto Agensi
Mohd Yusof. - Foto Agensi
A
A
A

PASUKAN kebangsaan Malaysia masih boleh berbangga melihat pencapaian dua pelumba - Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Kee Zhe Yie selepas berakhirnya perlumbaan Peringkat 6 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari George Town ke Alor Setar pada Ahad.

Baik Izzat Hilmi mahupun Zhe Yie, mereka silih silih berganti tampil selaku pelumba terbaik Malaysia di setiap peringkat perlumbaan, sekali gus membayangi dua tonggak senior pasukan kebangsaan - Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Sofian Nabil Omar Bakri.

Malah, Izzat Hilmi dan Zhe Yie turut membayangi rakan senegara mereka yang juga pakar pecut Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh dan pemilik Jersi Merah (Raja Bukit) ketika ini, juga daripada TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff.

Zhe Yie memegang status pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan Peringkat 1 (Kuala Pilah-Kuala Lumpur), Peringkat 3 (Putrajaya-Genting Highlands), Peringkat 4 (Sabak Bernam-Meru Raya) dan Peringkat 5 (Kuala Kangsar-Kulim).

Izzat Hilmi pula yang membuat penampilan kelima dalam sejarah penganjuran LTdL muncul pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan Peringkat 2 (Kuala Klawang-Raub) dan Peringkat 6 (George Town-Alor Setar).

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Mohd Yusof Nasir berkata, beliau harus realistik mencongak strategi dalam baki dua peringkat perlumbaan di Langkawi bermula Peringkat 7 (Kuah-Gunung Raya) dan Peringkat 8 (Kuah-Langkawi Loop).

"Saya dan pasukan sedar... untuk mengejar overall (pendahulu keseluruhan) agak sukar tetapi kami akan cuba yang terbaik dalam stage race. Kami harap Zhe Yie dan Izzat Hilmi dapat lakukan sesuatu dalam baki perlumbaan akan datang.

"Pasukan world tour dah mula tunjuk belang mereka. Jadi sasaran lebih realistik, kami akan cuba target stage best Asian rider. Bagi (kategori) pelumba terbaik Asia agak sukar kerana ada pencabar lebih kuat," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Selepas enam peringkat, Malaysia menduduki tangga keenam dalam carta pasukan terbaik Asia - satu anak tangga di atas pasukan tercorot, Thailand dan menghuni tempat ke-19 secara keseluruhan.

Selain Azwan, Sofian Nabil, Izzat dan Zhe Yie, dua lagi pelumba yang menggalas cabaran Malaysia di pentas LTdL yang memasuki edisi ke-26 kali ini ialah pasangan kembar - Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal.

Bagaimanapun, Ameer yang beraksi di LTdL buat kali keempat terpaksa meninggalkan kejohanan terulung di Asia itu lebih awal selepas mengalami keracunan makanan pada perlumbaan Peringkat 1.