TSG teruskan perlumbaan tanpa khidmat Mohd Harrif

Harrif gagal meneruskan saingan kerana difahamkan melanggar peraturan pertandingan LTdL. - Foto Bernama
Harrif gagal meneruskan saingan kerana difahamkan melanggar peraturan pertandingan LTdL. - Foto Bernama
A
A
A

TEKA-TEKI ketiadaan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh pada perlumbaan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Ahad terjawab selepas beliau disahkan tersingkir daripada saingan berbaki dua peringkat itu.

Pengurus Sukan TSG, Danny Feng berkata, pakar pecut pasukan itu difahamkan telah melanggar peraturan pertandingan selepas berpaut pada kenderaan ketika perlumbaan peringkat kelima dari Kuala Kangsar ke Kulim pada Sabtu.

"Perlumbaan hari ini (Ahad) sukar kerana kami tiada pakar pecut setelah kehilangan Harrif, jadi misi kami adalah untuk memastikan semua pelumba yang masih ada dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.

"Dia mengalami kesukaran di zon pendakian (Sumpitan) dan berpaut kepada sebuah kereta pasukan, tetapi bukan pasukan kami. Ia bukanlah salah ahli kru pasukan, tetapi penganjur sudah memutuskan beliau tersingkir jadi kami akan teruskan baki perlumbaan," katanya.

Ketiadaan Mohd Harrif sekali gus menjadikan cabaran TSG untuk baki dua perlumbaan LTdL menjadi sedikit sukar selepas kehilangan kapten pasukannya, Youcef Reguigui pada peringkat kelima semalam.

Pasukan TSG setakat ini bagaimanapun masih boleh berlapang dada apabila kekal mengungguli dua jersi - Jersi Putih (pelumba Asia terbaik) disarung Jambaljamts Sainbayar dan Jersi Merah (Raja Bukit) disarung Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff.

Pada perlumbaan sejauh 120.4 kilometer (km) dari Georgetown ke Alor Setar hari ini menyaksikan Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) kekal disarung Ivan Ramiro Sosa Cuervo mewakili Movistar Team.

Jersi Hijau (Raja Pecut) bertukar milik kepada juara peringkat keenam LTdL mewakili Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra.

Artikel Berkaitan:

Sementara pelumba pasukan kebangsaan Izzat Hilmi Abdul Jalil meraih gelaran pelumba terbaik Asia bagi peringkat ini selepas menghabiskan saingan di tempat ke-11 keseluruhan. - Bernama