Kerajaan turut beri perhatian kepada masyarakat India: PM

Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian hadirin ketika tiba pada program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di sini hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian hadirin ketika tiba pada program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus kepada masyarakat India, dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan dan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Misalnya, beliau berkata, dalam Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas, juga meliputi pelbagai inisiatif khusus kepada masyarakat India, seperti RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra).

"Dahulunya Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, namun kini dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, diletakkan di bawah Perdana Menteri sendiri. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan ekonomi kaum India di Malaysia.

"Selain itu, peruntukan RM25 juta diberikan bagi Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya ketika berucap pada Majlis Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Menyentuh aspek pendidikan, Ismail Sabri berkata, walaupun tidak dinyatakan secara khusus, peruntukan juga diberikan untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil selain peruntukan tambahan RM5 juta kepada RM25 juta setahun kepada Universiti AIMST, iaitu universiti swasta dimiliki MIC dan berpusat di Sungai Petani, Kedah.

Kata Ismail Sabri, kerajaan telah melaksanakan pelbagai latihan untuk menambah kemahiran dan latihan semula yang memanfaatkan 42,544 pelatih kaum India setakat Ogos lepas, dengan nilai latihan berjumlah hampir RM77 juta.

"Bagi penempatan pekerjaan, seramai 68,996 komuniti India telah dibantu sehingga September lepas dalam pelbagai bidang kemahiran dan industri," katanya.

Walaupun terdapat peruntukan khusus kepada masyarakat India, Ismail Sabri menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan kaum lain, menyaksikan pelbagai sumbangan diberikan kepada semua yang layak, dengan matlamat meringankan beban kewangan rakyat khususnya golongan B40.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada bantuan persekolahan dinaikkan kepada RM150 mulai tahun depan, berbanding RM100 diberikan kepada semua murid serta bantuan RM2,500 untuk isi rumah mempunyai lima anak kepada mereka yang layak dan tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. - Bernama