MBSA gesa orang ramai manfaat diskaun kompaun

Mohd Rashidi (atas pentas, tiga dari kiri) pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 pada Ahad. - Foto MBSA
Mohd Rashidi (atas pentas, tiga dari kiri) pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 pada Ahad. - Foto MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyarankan orang ramai memanfaatkan insentif diskaun kompaun sebanyak 70 peratus sebelum 31 Oktober ini.

Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan berkata, MBSA turut menawarkan pengurangan kompaun letak kenderaan sebanyak RM10 sejak awal bulan ini.

Menurutnya, insentif pengurangan kompaun sehingga 31 Oktober itu bersempena sambutan ulang tahun ke-22 bandar raya Shah Alam.

“Saya minta seluruh penduduk Shah Alam yang mempunyai tunggakan kompaun terpilih dan parkir supaya ambil peluang untuk menjelaskannya sepanjang bulan ini.

“Kita buka tawaran sempena ulang tahun bandar raya demi menghargai penduduk yang mungkin berdepan kekangan kewangan,” katanya ditemui pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berkata, pihaknya mengadakan jelajah bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dari setiap zon pada Sabtu bagi menghebahkan kempen pengurangan kompaun.

“Alhamdulillah setakat ini sambutan menggalakkan, ramai yang ambil peluang membayar kompaun tertunggak. Diharap peluang keemasan ini tidak disia-siakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain diskaun kompaun, pihak berkuasa tempatan itu turut menawarkan insentif penggunaan kemudahan secara percuma pada tarikh tertentu sempena ulang tahun bandar raya berkenaan.

MBSA juga menawarkan tempat letak kereta percuma di Bangunan Wisma MBSA dan Hab Seksyen 19 pada 11 Oktober, selain sewaan dewan serbaguna serta gelanggang MBSA bagi aktiviti sukan pada 10 Oktober.

Turut ditawarkan keahlian percuma Perpustakaan MBSA sepanjang bulan ini.