Tidak mustahil PJ City tewaskan JDT

Pemain PJ City FC, Darren Lok meraikan jaringan gol bersama pemain sepasukannya pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.
FOTO BERNAMA
Pemain PJ City FC, Darren Lok meraikan jaringan gol bersama pemain sepasukannya pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini. FOTO BERNAMA
A
A
A

HASRAT Petaling Jaya (PJ) City untuk mengelak pertembungan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan awal Piala Malaysia tidak kesampaian meskipun berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi terakhir Liga Super pada Sabtu sekali gus menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Ini kerana, berdasarkan undian dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini, pasukan yang berada di kedudukan sembilan akan bertemu JDT pada pusingan pertama Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.

Bagaimanapun pengendali PJ City, P Maniam enggan menyerah kalah awal, sebaliknya akan merangka strategi bagi memerangkap JDT dalam usaha meraih keputusan positif sekali gus mampu melangkah ke pusingan seterusnya.

“Seperti yang kita ketahui, JDT sudah memenangi Piala FA dan bergelar juara Liga Super sekali gus memasang impian mahu merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

“Saya akan beri pemain rehat dua hari dan melihat pemain yang bersesuaian untuk diturunkan menentang JDT.

"Dalam bola sepak tiada yang mustahil kerana jika kita menunjukkan corak permainan berkualiti dan berikan komitmen tinggi, saya yakin mampu tumpaskan skuad Harimau Selatan," katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), anak buah P Maniam menang menerusi gol tunggal Darren Lok pada minit ke-40.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak mengubah kedudukan Liga buat PJ City selepas pencabar terdekat, Sri Pahang FC berjaya menundukkan Negeri Sembilan 2-0 sekali gus melonjak ke posisi ketujuh manakala PJ City terus kekal di tangga kesembilan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai perlawanan terakhir Liga Super bertemu KL City, Maniam berkata, barisan anak buahnya menunjukkan disiplin yang tinggi sekali gus berjaya melakar kejutan terhadap juara Piala Malaysia 2021 itu.

"PJ City beraksi denan baik dan mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Paling penting, pemain berjaya manfaat peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol,"katanya.