Benzema jadi pilihan ranggul anugerah Ballon d'Or

Benzema jadi calon pilihan untuk merangkul anugerah berprestij bola sepak dunia. - Foto Agensi
Benzema jadi calon pilihan untuk merangkul anugerah berprestij bola sepak dunia. - Foto Agensi
A
A
A

PENYERANG berbisa, Karim Benzema menjadi pilihan utama untuk memenangi anugerah Ballon d'Or 2022 pada majlis yang akan berlangsung di Paris, awal pagi Selasa.

Ia bakal mengikut jejak kejayaan yang dilakar pemain Perancis pertama meraih anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak itu sejak Zinedine Zidane pada 1998.

Seramai 30 calon bersaing tetapi penyerang Real Madrid itu adalah calon paling cemerlang selepas prestasi luar biasa membantu kelabnya memenangi trofi Liga Juara-Juara dan La Liga.

Benzema menjaringkan 44 gol yang menakjubkan daripada 46 perlawanan untuk kelabnya termasuk 15 gol di Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 34 tahun itu juga melakar hatrik dalam tempoh 17 minit di separuh masa kedua ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan 16 terakhir dan satu lagi perlawanan menentang Chelsea pada aksi suku akhir pertama.

Dia juga menjaringkan tiga lagi gol pada kedua-dua perlawanan separuh akhir menentang Manchester City.

Benzema dinobatkan sebagai pemain terbaik UEFA Ogos lalu dan dia dijangka akan terpilih beraksi bersama Perancis di Piala Dunia Qatar bulan depan.

"Apa yang paling penting bagi saya ialah memenangi pelbagai trofi. Jika anda melakukan sesuatu dengan baik di atas padang, anugerah individu akan menyusul," ujar Benzema.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka tidak membatalkannya (majlis Ballon d'Or), maka dia mungkin akan memenangi Ballon d'Or ini," kata penyerang Barcelona, ​​Robert Lewandowski.

Edisi lepas dimenangi bintang sensasi Argentina, Lionel Messi dan penyerang PSG itu sudah mengumpul tujuh gelaran iaitu pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015, 2019 dan 2021.

Calon lain yang tersenarai bagi penerima anugerah berprestij itu ialah Riyad Mahrez (Manchester City), Casemiro (Real Madrid), Heung-Min Son (Tottenham) dan Mohamed Salah serta Fabinho (Liverpool).

Turut tersenarai ialah Robert Lewandowski (Barcelona), Mike Maignan (AC Milan), Harry Kane (Tottenham Hotspur), Phil Foden (Manchester City), Luka Modric (Real Madrid) dan Cristiano Ronaldo (Manchester United).