PRU15: Warisan belum muktamad kerusi di Semenanjung

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

PAPAR - Parti Warisan (Warisan) masih belum memuktamadkan mana-mana kerusi Parlimen yang akan ditandingi di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sememangnya terdapat pemimpin dan ahli Warisan menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi parlimen tertentu di Semenanjung antaranya Kedah dan Perlis, namun Warisan melihat ia sebagai cadangan pada ketika ini.

Beliau berkata, selepas dimuktamadkan, koordinator akan dilantik bagi menentukan kawasan dan calon yang bertanding selain menjalankan tapisan ke atas calon-calon berkenaan.

"Ia bergantung kepada presiden yang menentukan kerusi mana kita bertanding, siapa jadi calon akan diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera PRU15 Warisan Parlimen Papar di sini pada Sabtu.

Pengerusi Warisan Kedah, Datuk Fadzil Hanafi pada Sabtu berkata, parti itu telah mengenal pasti lima kerusi Parlimen bakal ditandingi seperti Alor Setar, Pokok Sena, Sungai Petani, Merbok dan Padang Serai selain menghantar satu nama calon untuk setiap parlimen kepada Mohd Shafie.

Pada Khamis lepas, Mohd Shafie dilaporkan berkata Warisan berkemungkinan besar bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi di Labuan.

Sementara itu, ketika melancarkan jentera PRU15 Warisan Parlimen Kimanis, Mohd Shafie mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof sebagai calon Warisan untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Kimanis.

"Kita doakan mudah-mudahan kita menang dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Daud, 61, adalah calon kedua yang diumum Warisan untuk PRU15, selepas Bendahari Warisan Bahagian Sipitang Datuk Adnan Puteh yang diumum sebagai calon bagi Parlimen Sipitang.

Parlimen Kimanis disandang Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Mohamad Alamin yang menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis pada Januari 2020 menewaskan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi. - Bernama