Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Satwant Singh

Foto Facebook Istana Negara
Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan dan pentadbir sukan, Satwant Singh Dhaliwal, yang meninggal dunia pada Jumaat.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara pada Sabtu, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu, di samping berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan, serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan mendiang kepada bidang kewartawanan dan sukan tanah air.

"Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan dan sukan negara,” menurut catatan itu.

Selain sebagai wartawan sukan, Satwant, 59, semasa hayatnya pernah berkhidmat di Unit Latihan Atlet, Bahagian Persediaan Antarabangsa Majlis Sukan Negara (MSN) dan, di dalam bidang perhubungan awam sukan termasuk bagi kejohanan hoki Piala Sultan Johor dan Konfederasi Hoki Malaysia.

Mendiang merupakan antara wartawan dan penulis sukan yang berpengalaman dan vokal untuk memberikan pandangan bernas serta ulasan secara kritikal yang mendorong semua pihak untuk sentiasa meningkatkan usaha demi membangunkan sukan negara.

Pada Jumaat, bekas wartawan akhbar Malay Mail itu dilaporkan pengsan ketika bersarapan di sebuah kedai makan sekitar rumahnya, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor setibanya di Hospital Tampin, Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Berkaitan: