Usul sokong Ismail Sabri calon PM dominasi mesyuarat perwakilan

UMNO Bahagian Machang turut menyokong usul keputusan MT UMNO yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-10 di Dewan Pusat Transformasi Ilmu Bukut Tiu, Machang pada Sabtu.
UMNO Bahagian Machang turut menyokong usul keputusan MT UMNO yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri ke-10 di Dewan Pusat Transformasi Ilmu Bukut Tiu, Machang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usul menyokong keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mendominasi sebahagian besar mesyuarat UMNO bahagian hari ini.

Bahagian yang bersidang hari ini kesemuanya bersetuju sebulat suara terhadap usul berkenaan.

Di KELANTAN, Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia adalah antara enam usul yang dipersetujui sebulat suara UMNO bahagian berkenaan.

"Selain itu, usul lain adalah bagi menyokong usaha mewujudkan keharmonian hubungan, solidariti serta kesatuan idea perjuangan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi PRU15,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan mesyuarat berkenaan yang dihadiri kira-kira 300 orang perwakilan hari ini.

Beliau berkata, antara usul lain yang turut dipersetujui adalah mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas dakwaan dan salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berdasarkan isi kandungan buku tulisannya 'Justice In The Wilderness' dan menilai semula kaedah pelantikan hakim yang tidak mengikut lunas undang-undang.

Di JOHOR, ketetapan sama turut diambil oleh empat UMNO Bahagian merangkumi Tenggara, Pontian, Parit Sulong dan Tebrau pada persidangan bahagian masing-masing.

Ketua UMNO Bahagian Tenggara yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi catatan di Facebook berkata, selain usul berkenaan, bahagian itu juga mahu kepimpinan pentadbiran negara yang diterajui UMNO menambah baik rantaian sosio ekonomi dengan lebih rancak dan seimbang serta menjuarai keperluan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad pula berkata, usul lain yang dipersetujui ialah pemilihan calon untuk PRU15 yang perlu mengambil kira calon daripada Parlimen yang sama selain mengusulkan supaya solidariti parti diperkukuhkan sebagai satu pasukan.

Artikel Berkaitan:

Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan pula berkata, bahagian berkenaan menyokong segala usaha untuk menyatukan kepimpinan UMNO demi kelangsungan dan kemenangan BN pada PRU15.

Selain itu mereka turut menyokong saranan agar tema utama manifesto PRU15 iaitu 'Kestabilan dan Kemakmuran' seperti mana yang pernah digunakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, diteruskan.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah pula berkata, sayap itu akan memperhebatkan penggunaan platfrom media sosial pada PRU15 dalam usaha mendekati pengundi khususnya golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri Larkin itu berkata, platform itu akan digunakan bagi menangkis segala fitnah dan tohmahan terhadap UMNO dan BN.

Persidangan Bahagian UMNO bermula semalam hingga esok melibatkan 191 bahagian. - Bernama