Letak jawatan bukan atas desakan parti: Suraya

Suraya (kanan) membuang undi pada sesi pemilihan tujuh perwakilan (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Pendang di Pendang Lake Resort, di sini pada Sabtu.
Suraya (kanan) membuang undi pada sesi pemilihan tujuh perwakilan (G7) ke Perhimpunan Agung UMNO ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Pendang di Pendang Lake Resort, di sini pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob sebagai Exco Kerajaan negeri Kedah bukan atas desakan parti atau perasaan tidak puas hati.

Suraya berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan tumpuan diberi kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah berkata, hasrat untuk meletakkan jawatan telah lama ada tetapi tidak mendapat persetujuan beberapa pihak termasuk restu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

"Tidak ada sebarang perkara yang tak puas hati cuma saya selalu berpendapat pentadbiran kerajaan tidak boleh dicampur aduk dengan kerja parti dan masanya telah sampai untuk saya tumpu kepada parti.

"Ada Exco lain yang akan bertanding Parlimen dan tak mahu lepaskan jawatan, ia boleh dibuat tapi secara prinsipnya agak kekok dan boleh dimanipulasi menggunakan jentera (kerajaan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pendang di Pendang Lake Resort di sini pada Sabtu.

Suraya dalam masa sama turut menafikan keputusannya itu ada kaitan dengan penetapan Pas untuk kekal tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasai mereka termasuk Kedah.

"Walau bagaimanapun, saya berharap DUN Kedah dibubarkan kerana ia akan memudahkan rakyat untuk memilih kerajaan negeri yang selari dengan Persekutuan.

"Ini (Kedah) kerajaan yang kita gabungkan parti-parti untuk mentadbir sementara, kalau Kelantan dan Terengganu tak bubar saya faham tapi Kedah negeri gabungan (PN-BN)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya ura-ura akan di calon di Parlimen Pendang, Suraya hanya meminta semua pihak menunggu keputusan pucuk pimpinan parti.

"Sekiranya saya diberi mandat untuk PRU15 di kerusi itu yang dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan empat penjuru, Insya-ALLAH saya bersedia," katanya.

Pada Khamis lalu, Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran Kedah berkuatkuasa serta-merta.