Reece James terlepas aksi menentang Villa

Reece James (kiri) tidak akan diturunkan pada aksi menentang Aston Villa selepas mengalami kecederaan lutut.
Reece James (kiri) tidak akan diturunkan pada aksi menentang Aston Villa selepas mengalami kecederaan lutut.
A
A
A

PERTAHANAN Chelsea, Reece James sah akan disisihkan pada aksi menentang Aston Villa selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut ketika menentang AC Milan tempoh hari.

Pengendali Chelsea, Graham Potter bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum dapat memastikan sama ada kecederaan yang dialami bek kanan England itu benar-benar serius atau sebaliknya memandangkan pihaknya masih belum mendapat laporan penuh.

“Reece perlu berjumpa pakar hujung minggu ini. Setakat ini kami belum dapat apa-apa informasi berkenaan kecederaan yang dialaminya.

“Sebelum ini dia (Reece) berasakan ia bukanlah satu kecederaan yang serius, namun selagi keputusan belum keluar saya tidak boleh bercakap apa-apa. Selepas dia berjumpa dengan pakar barulah kami akan lihat sama ada dia perlu berehat panjang atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan lawannya, Potter mengakui Villa sudah tentu akan memberi tentangan yang sengit memandangkan pasukan itu kini mahu mencari keputusan positif selepas gagal beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Saya pasti Steven Gerrard mahu meningkatkan keputusan mereka dan melihat permainan ini untuk mendapatkan keputusan positif.

“Justeru, kami perlu memastikan kami bersedia untuk cabaran itu. Saya rasa semua orang tahu dalam Liga Perdana sentiasa ada seseorang di bawah tekanan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: