Kombinasi Peng Soon-Yee See belum sempurna

Peng Soon-Yee See -Foto Badminton Photo
Peng Soon-Yee See -Foto Badminton Photo
A
A
A

PASANGAN beregu campuran negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See mahu menggunakan saingan Terbuka Denmark yang dijadualkan dari 18 hingga 23 Oktober ini, sebagai medan mencari keserasian dalam memburu kelayakan ke Olimpik Paris 2024.

Peng Soon, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, berkata, antara aspek utama yang perlu diatasi di Arena Fyn, Odense ialah masalah tidak mampu mengawal tekanan mental yang dihadapi ketika perlawanan sebelum ini, sejak digandingkan pada Jun lepas.

"Kombinasi kami belum sempurna, belum 100 peratus baik dan masih berjuang, terlalu banyak perbezaan yang kami rasa, memang sewaktu latihan kami main taktikal untuk dapat rentak yang baik, tetapi kalau tekanan kejohanan berbeza.

"Kalau latihan bagus, tapi kombinasi tak serasi dan masih ada ragu-ragu untuk menang tidak guna juga, memang tertekan di situ. Kami tak tahu bila boleh dapat rentak yang baik bersama-sama," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, pada Jumaat.

Atlet berusia 34 tahun berasal Pulau Pinang itu, bagaimanapun yakin untuk mencari teknik mengawal tekanan serta mendapatkan keserasian yang dicari bersama Yee See.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menetapkan tempoh kelayakan Paris 2024 bermula 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024, dengan hanya 16 slot ditawarkan bagi beregu campuran.

Peng Soon-Yee See sebelum ini tersingkir pada peringkat suku akhir Terbuka Vietnam, yang merupakan kejohanan ketujuh yang disertai sejak digandingkan pada Masters Indonesia 2022, apabila tewas 19-21,17-21 kepada pasangan India Rohan Kapoot-Reddy Sikki.

Peng Soon menamatkan gandingan 13 tahun bersama Goh Liu Ying pada Disember lepas, di mana pencapaian terbaik mereka adalah merangkul perak Rio 2016.

Artikel Berkaitan:

Sejak itu, Peng Soon yang kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM), telah mencuba gandingan bersama Valeree Siow dan Toh Ee Wei, sebelum pemain berusia 34 tahun itu dipasangkan dengan Yee See sejak Jun. - Bernama