PN sedia kerjasama mana-mana parti demi menumbangkan BN

Mahathir
Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, jika benar PH membuka pintu, bermaksud pakatan pilihan raya antara parti itu dan PN boleh dilaksanakan.

“Pakatan pilihan raya ini menjuruskan kepada kesepakatan untuk meletakkan calon agar tidak bertembung sebab objektif paling penting adalah menewaskan UMNO/BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pintu kerjasama PH masih terbuka buat mana-mana parti yang mempunyai agenda yang sama iaitu menentang rasuah dan salah guna kuasa.

Walau bagaimanapun Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil menegaskan parti itu tiada hasrat untuk mengadakan perbincangan kerjasama pilihan raya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan PN.

“Bagi saya tidak ada yang mustahil, dalam politik semua boleh berlaku, kami dari pihak PN sedia membuka pintu kerjasama berkenaan,” kata Mahathir.

Mahathir berkata, PN Wilayah Persekutuan sudah bersedia menghadapi PRU dan calon-calon yang bakal bertanding juga sudah dimuktamadkan.

“Setakat ini, untuk di Parlimen Segambut, Ketua Sayap Bersekutu Segambut, Datuk Simon Suresh V dijangka menjadi calon untuk kawasan berkenaan,” katanya

Artikel Berkaitan:

Mahathir yang juga Ketua Bersatu Bahagian Segambut berkata, Parlimen Segambut adalah antara kerusi yang mahu dimenangi oleh PN, justeru calon yang dipilih harus harus berwibawa dan boleh menang serta diterima masyarakat.