85,000 penduduk di Selangor sudah terima hak pemilikan tanah

Kerajaan negeri dari semasa ke semasa berusaha menyelesaikan masalah hak pemilikan tanah dengan segera.

A
A
A

Amirudin bergambar bersama penerima hak milik pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.
Amirudin bergambar bersama penerima hak milik pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.

SABAK BERNAM - Kerajaan Selangor sudah menyerahkan kira-kira 85,000 permohonan hak milik tanah kepada rakyat sejak mentadbir negeri ini pada tahun 2008.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha pemberian hak milik itu dilakukan secara berterusan meskipun mengambil tempoh masa lama untuk diluluskan.

Menurutnya, penduduk berdepan pelbagai kerumitan untuk mendapatkan kelulusan hak milik tanah yang dimohon.

"Antara kerumitan dialami biasanya terdapat pertindihan dua atau tiga nama yang didaftarkan dalam satu tempat permohonan.

"Sebahagian lagi permohonan tidak boleh diluluskan kerana rizab kerajaan negeri dan ia terpaksa dikosongkan untuk kita cari tapak lain," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.

Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan surat hak milik kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.
Amirudin (tiga dari kiri) menyampaikan surat hak milik kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Hak Milik Tanah Borang 5A Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri dari semasa ke semasa berusaha menyelesaikan masalah hak pemilikan tanah dengan segera.

Amirudin memberitahu, misalnya seramai 73 penduduk di Parit Lapan 1/2 Barat Mukim Sabak Daerah Sabak Bernam telah menerima hak milik sejak menduduki kawasan itu pada tahun 1993.

"Kawasan yang dimohon ini pada asalnya merupakan kerjasama antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Bahagian Pembangunan, Pejabat Daerah (PDT) Sabak Bernam di bawah program permuafakatan pintar bagi membantu golongan pendapatan rendah tidak memiliki tanah untuk membina dan memiliki rumah kediaman sendiri," jelasnya.

Ujar beliau, kebanyakan pemohon tanah itu merupakan golongan petani yang mengusahakan tanaman padi dan sawit serta pengusaha berpendapatan rendah.

Jelas beliau, keluasan tapak yang dipohon bagi tujuan bangunan kediaman itu adalah antara 326 meter persegi hingga 948 meter persegi.

"Dengan keluasan ini, pemohon bukan sahaja dapat membina rumah kediaman selesa dan luas, malah sedikit sebanyak dapat juga bercucuk-tanam di sekeliling rumah dengan tanaman-tanaman kontan yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup seperti pokok cili, kunyit, lengkuas dan serai.

Amirudin menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM10,000 kepada Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.
Amirudin menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM10,000 kepada Masjid Jamek Sultan Hishamudin di sini pada Jumaat.

Menurut Amirudin, pada masa ini kos bagi memiliki sebuah rumah mahu pun sebidang tanah bagi tujuan kediaman di negeri Selangor adalah sangat tinggi.

Beliau memberitahu, faktor itu disebabkan terdapatnya limpahan pembangunan dan kesuburan aktiviti ekonomi di negeri ini.

"Tidak dapat dinafikan tempias ini turut akan dirasai oleh penduduk di daerah Sabak Bernam.

"Berdasarkan nilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), nilai pasaran semasa bagi tanah-tanah di kawasan ini turut mengalami kenaikan sehingga mencecah RM90 bagi semeter persegi," jelas beliau.

Amirudin menegaskan, kerajaan Selangor masih lagi komited untuk membantu rakyat negeri dalam memiliki tanah bagi tujuan kediaman dengan mengenakan kadar premium lebih rendah berbanding dengan nilai harga pasaran.

"Pemohon juga diberi pilihan untuk menentukan kaedah pembayaran premium mengikut kadar bayaran berdasarkan kemampuan masing-masing.

Penduduk di Sabak Bernam diminta hadir ke JSP di Stadium Sungai Besar pada Sabtu bagi mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri.
Penduduk di Sabak Bernam diminta hadir ke JSP di Stadium Sungai Besar pada Sabtu bagi mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri.

"Bagi pemohon yang tidak berkemampuan kini turut mampu untuk memiliki tanah kediaman dengan perlu menjelaskan bayaran premium tanah mengikut syarat dan kelulusan diberikan," kata beliau.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, rakyat di Sabak Bernam diminta untuk hadir ke Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Sungai Besar pada Sabtu bagi mendapatkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan negeri.

Ujarnya, terdapat 44 inisiatif ditawar kerajaan Selangor dalam usaha menambah baik kehidupan rakyat di negeri ini.

Katanya, semua inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) itu diharap dapat dimanfaatkan rakyat di daerah itu.

"Banyak kelebihan yang ditawarkan kerajaan negeri antaranya program seperi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang memperluas bantuan i-agro.

"Ini secara tidak langsung membantu penduduk di Sabak Bernam kerana kaedah pembayarannya juga tidak seperti biasa.

"Kelebihan i-agro yang ditawarkan kepada pesawah misalnya tidak memerlukan bayaran pada bulan pertama kerana kita tahu tanaman padi misalnya perlu menunggu tiga bulan untuk tuaian bagi mendapatkan hasil pengeluaran," ujarnya." ujarnya.