49,000 pekebun kecil getah bakal terima bantuan khas Aidilfitri

Kira-kira 49,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200. - Gambar hiasan
Kira-kira 49,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira 49,000 pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM200 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9.8 juta, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

KPK dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan BKKA Aidilfitri itu akan disalurkan melalui Lembaga Getah Malaysia kepada pekebun kecil getah berdaftar dengan keluasan kebun getah melebihi 2.5 hektar sehingga enam hektar.

Pada masa yang sama, BKKA akan turut disalurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada pekebun kecil yang memiliki kebun getah dengan keluasan 2.5 hektar ke bawah.

"Penyaluran bantuan ini akan dikreditkan ke dalam akaun pekebun kecil sebelum atau pada 14 April 2023,” menurut kenyataan itu.

KPK berkata, pihaknya telah mengambil tindakan bagi memastikan kumpulan sasar yang terdiri daripada pekebun kecil getah mendapat manfaat.

"BKKA 2023 khusus kepada pekebun kecil getah ini diharapkan dapat meringankan beban pekebun kecil getah di seluruh negara dalam memenuhi keperluan sempena sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba," katanya.

Pada 29 Mac lepas, Perdana Menteri Daruk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan BKKA sebanyak RM200 dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM170 juta kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan. - Bernama