Industri penyelidikan, ujian klinikal disasar sumbang RM2 bilion

Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) bersama Duta Besar Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko (dua, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Clinical Research Malaysia (CRM) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Akhmal Yusif (kiri) dan National Center for Global Health and Medicine(NCGM), diwakili Presiden National Cancer Center(NCC) Dr. Hitoshi Nakagama (kanan) pada persidangan 'CRM Trial Connect 2022' di Pullman KL jalan Conlay, pada Jumaat. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan industri penyelidikan dan ujian klinikal dapat menyumbang lebih RM2 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penyelidikan klinikal di Malaysia melalui perkembangan sangat pesat dengan tahun depan, negara bakal melepasi RM1 bilion dari segi PNK yang dihasilkan melalui projek atau kontrak ujian serta penyelidikan klinikal yang dilaksanakan di Malaysia sejak 2012.

"Melalui perkembangan di bawah Clinical Research Malaysia (CRM) selama 10 tahun, kita melihat ia akan melepasi paras RM1 bilion dan saya yakin dalam tempoh masa 10 tahun akan datang, kita akan dapat melepasi RM1 bilion lagi.

"Cuma jumlah kuantum banyak bergantung kepada perjanjian yang dimeterai, kompetensi kita, berapa ramai yang dapat kita latih untuk menjadi investigator dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan CRM Trial Connect 2022 dan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.

Sementara itu, Khairy mahu lebih ramai doktor dalam negara ini memulakan projek penyelidikan investigator initiated research (IIR) kerana golongan berkenaan lebih mengetahui tentang penyakit dihidapi pesakit di Malaysia.

"Kita akan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat bagaimana kita dapat tingkatkan lagi IIR ini,” katanya.

Terdahulu, Khairy menyaksikan pemeteraian tiga MoU antara CRM dengan National Center for Global Health and Medicine Japan; syarikat penyelidikan Jepun, Remedy and Company Corporation dan National Cancer Center Japan melibatkan bidang penyelidikan serta ujian klinikal. - Bernama

Artikel Berkaitan: