Berang bau masakan, abang pukul adik hingga patah gigi

Polis berjaya memberkas suspek selepas adik perempuannya berumur 24 tahun membuat laporan polis. - Gambar hiasan
Polis berjaya memberkas suspek selepas adik perempuannya berumur 24 tahun membuat laporan polis. - Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Berang bau masakan masuk ke bilik, seorang wanita cedera dipukul abang kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah di sini pada Khamis.

Bagaimanapun tindakan suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu membawa padah apabila diberkas tidak sampai beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam berlaku ketika mangsa berumur 24 tahun itu sedang memasak.

"Suspek mendakwa bau dan wap masakan telah masuk ke biliknya yang terletak bersebelahan dengan dapur menyebabkan suspek merasa bahang.

"Suspek kemudiannya telah keluar dari bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, pertengkaran kemudian berlaku antara suspek dengan mangsa.

"Suspek kemudian bertindak menarik rambut, menumbuk dan menampar di bahagian muka mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan serta telah mengalami patah gigi hadapan akibat ditumbuk oleh suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, laporan dibuat mangsa kemudian membawa kepada penangkapan mangsa yang berumur 31 tahun itu.

"Suspek diberkas kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang.

"Suspek kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.