Remaja lemas ketika selamatkan rakan

Pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mangsa pada jam 2.55 petang. - Foto JBPM Selangor
Pasukan penyelamat berjaya menemui mayat mangsa pada jam 2.55 petang. - Foto JBPM Selangor
A
A
A

HULU SELANGOR - Keseronokan tiga sekawan mandi-manda di Air Terjun Serendah di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas dalam kejadian pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.

Menurutnya, mangsa dikenali Rajeswaran Kumara, 19, yang tinggal di Bestari Jaya dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya yang dihanyutkan arus deras.

"Pasukan penyelamat tiba pada jam 2 petang mendapati cuaca di lokasi hujan lebat dan arus sungai deras.

"Ketika kejadian mangsa cuba membantu rakannya yang lemas, namun disebabkan arus air yang deras mangsa pula dihanyutkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Norazam berkata, ketika kejadian tidak berlaku fenomena kepala air walaupun cuaca hujan.

"Mangsa kemudian ditemui di dasar sungai pada jam 2.55 dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dan Balai Bomba Shah Alam.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: