TAPS atasi sumber air mentah terhad di Melaka: PM

Ismail Sabri (dua dari kanan) menurunkan tandatangan pada plak sebagai gimik perasmian Loji Rawatan Air Chinchin 3 Jasin, pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kanan) menurunkan tandatangan pada plak sebagai gimik perasmian Loji Rawatan Air Chinchin 3 Jasin, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Melaka oleh kerajaan Persekutuan akan menyelesaikan isu sumber air mentah yang terhad dengan meneroka sumber air mentah baharu yang terdapat di negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap bekalan air mentah dari negeri-negeri lain seperti Johor dan Negeri Sembilan.

"Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan TAPS Melaka bertempat di Tasik Biru ini bagi menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), bagi kerja- kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke Empangan Jus di daerah Jasin yang dijangka siap pada 2028,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 Jasin di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan pusat juga sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di Alor Gajah dengan peruntukan RM234.7 juta dan dijangka siap pada 2026.

Selain pembinaan TAPS, Ismail Sabri berkata, peruntukan RM600 juta telah diluluskan oleh kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi projek pembinaan Kolam Dwi-Fungsi di Krubong, Melaka.

Ujar beliau, ia adalah projek menaik taraf kolam tebatan banjir sedia ada kepada kolam dwifungsi bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan hilir Sungai Melaka selain berfungsi sebagai kolam simpanan bekalan air mentah sebelum disalurkan ke Empangan Durian Tunggal.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa menyokong semua usaha kerajaan Melaka termasuk dalam menjalankan projek dan kajian bagi meningkatkan sumber air mentah negeri jika terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuklah kajian kebolehlaksanaan projek Penyaluran Air Sungai Muar Fasa 3 bagi menampung keperluan Keluarga Malaysia Melaka yang kian meningkat.

"Pelaksanaan projek ini amat penting sejajar dengan perkembangan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara yang menjamin penjanaan pendapatan dan perkembangan ekonomi secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menyokong usaha Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk meneruskan pelaksanaan panel solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini jika usaha di Empangan Durian Tunggal berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, kajian yang diluluskan kerajaan negeri itu berkaitan penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah untuk mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan panel solar terapung atas permukaan air dengan kapasiti 150 megawatt di Empangan Durian Tunggal bagi menjana bekalan elektrik kepada operasi SAMB.

"Pelaksanaan projek penggunaan tenaga solar juga selari dengan hala tuju kerajaan ke arah mencapai Negara Sifar Karbon menjelang 2050," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif bagi projek tenaga boleh diperbaharui yang dirangka oleh SAMB juga dilihat dapat memacu perkembangan teknologi yang baik bagi Melaka.

Menyentuh mengenai Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, beliau berkata, ia memberi manfaat kepada lebih 100,000 Keluarga Malaysia Melaka khususnya di Jasin dan Merlimau.

Menurutnya, pembinaan loji itu menelan belanja RM40 juta dan ia satu daripada inisiatif SAMB untuk membantu kerajaan Melaka dan Keluarga Malaysia Melaka yang sebelum ini berdepan dengan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari hingga Mac 2020.

Loji berkenaan beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru iaitu bekas lombong yang tidak lagi digunakan. - Bernama