Peniaga dipenjara lapan bulan tipu dapatkan gelaran datuk

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah menipu seorang wanita untuk mendapatkan gelaran datuk daripada kerajaan Melaka dengan bayaran RM100,000, seorang peniaga lelaki dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Abdullah Shafiq Abdul Rahman, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Hakim memerintahkan tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Shafiq didakwa menipu wanita berusia 57 tahun yang juga seorang peniaga dengan memperdayakannya supaya membuat bayaran sebanyak RM100,000 secara dalam talian ke akaun Maybank milik tertuduh.

Bayaran dibuat bagi mendapatkan gelaran datuk dari Melaka yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah di Jalan Tun Ismail, Dang Wangi, di sini pada 4 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman setimpal untuk pengajaran dengan mengambil kira keberanian tertuduh menggunakan nama Istana untuk melakukan penipuan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pemuda itu yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan keluarga.