MPT Bersatu bincang cadangan, maklum balas manifesto PN

 Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membincangkan mengenai cadangan dan maklum balas berkaitan Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN) dalam satu mesyuarat khas pada Khamis.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, manifesto tersebut dirangka oleh Jawatankuasa Manifesto PN yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“MPT Bersatu telah mengadakan mesyuarat khas pada 13 Oktober (Khamis) bagi memuktamadkan hala tuju kerjasama politik dan persediaan menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Isnin, PN telah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto PRU15 yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Bersatu turut menyambut baik dan menghargai ketetapan Pas untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama PN dalam PRU15.

“Bagi memastikan kejayaan PN dalam PRU15, Bersatu memberikan komitmen sepenuhnya untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera Bersatu bersama parti-parti komponen PN yang lain iaitu Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) di semua peringkat akar umbi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: