Wajar lebih ramai calon muda, orang lama jadi penasihat

Syamsul Baharin
Syamsul Baharin
A
A
A

IPOH - Semua parti politik perlu berani melakukan perubahan dengan meletakkan lebih ramai calon muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Exco Pemuda UMNO, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, perkara itu selari dengan keperluan semasa termasuk pertambahan pengundi muda susulan pelaksanaan Undi 18.

"Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) ketika itu sudah mula ambil pendekatan ini dengan meletakkan calon-calon muda dan mereka berjaya.

"Keadaan ini beri tamparan hebat kepada BN dan kita lihat pada PRN (pilihan raya negeri) Melaka dan Johor, BN mula letak calon muda hampir 60 ke 70 peratus yang akhirnya membawa kemenangan.

"Jadi pada saya, mana-mana parti pun perlu ambil peluang itu dengan ketengahkan lebih ramai calon muda," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau yang merupakan Exco Pemuda ketika pergerakan itu diketuai Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sesi 2013 - 2018 lalu berpendapat, senario politik semasa menunjukkan rakyat khususnya pengundi muda tidak hanya memilih calon berdasarkan parti semata-mata.

Katanya, apatah lagi ketika ini, pecahan parti politik dalam negara sudah terlalu banyak.

"Undi kali ini adalah undi orang muda. Jadi saya rasa mereka tidak lagi melihat lambang (parti), tetapi individu yang bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat itu berkata, negara tidak pernah ketandusan calon muda, sebaliknya hanya tidak diberikan ruang seluasnya oleh parti untuk lebih ke hadapan.

Jelas beliau, sekiranya diberikan peluang sebagai calon, pastinya anak muda itu sedia memberikan perkhidmatan kepada kawasan yang diwakili.

"Terserah kepada kebijaksanaan pemimpin untuk meletakkan calon-calon muda, tidak semestinya orang lama bersara, cuma yang mana berusia boleh menasihati dan jadi pemantau.

"Saya yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad pun akan letak ramai calon muda," katanya.

Dianggarkan lebih 21 juta pemilih berdaftar pada PRU15 ini dengan 58 peratus adalah mereka dalam kelompok usia 18 hingga 40 tahun.

Belia berusia 18 hingga 20 tahun merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu.