Patung lilin Chong Wei, atlet terkemuka dunia di Singapura

Chong Wei (kanan) bersama patung lilinnya di Muzim Madame Tussauds, Singapura pada Khamis. -Foto: FB Lee Chong Wei
Chong Wei (kanan) bersama patung lilinnya di Muzim Madame Tussauds, Singapura pada Khamis. -Foto: FB Lee Chong Wei
A
A
A

MADAME Tussauds Singapura mempamerkan patung lilin bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pada Khamis.

"Kami berbangga dipilih sebagai Madame Tussauds pertama yang mempamerkan Chong Wei, seorang bintang sukan terbaik di rantau ini, kini berada di Singapura dan berdiri sebaris dengan nama-nama tersohor dalam 'Hall of Fame' Sukan di sini," kata pengurus besar Madame Tussauds, Steven Chung di laman sesawangnya.

"Legenda sukan adalah individu yang mengagumkan, mereka memiliki keupayaan unik untuk menawan hati peminat dan memberi inspirasi kepada generasi muda dari seluruh dunia," tambah Steven.

Patung lilin Chong Wei akan dipamerkan di Madame Tussauds Singapura sehingga suku pertama 2023 dan akan dipindahkan secara kekal ke Madame Tussauds Hong Kong.

Chong Wei merupakan satu nama yang cukup terkenal di Malaysia dan menjadi atlet pertama dari negara itu yang dipamerkan di dewan Madame Tussauds.

Patung lilinnya akan dipamerkan bersama atlet terkemuka dunia termasuk pemain bola sepak legenda, Cristiano Ronaldo dan David Beckham.

Laman sesawang itu menyebut Chong Wei layak berada di Hall of Fame kerana mencatat rekod sebagai pemain badminton terbaik di dunia selama 349 minggu dan berada di tempat teratas selama 199 minggu berturut-turut.

Memenangi 69 gelaran siri super, beliau juga mewakili Malaysia sebagai duta muhibah UNICEF, menurut laman sesawang itu.

Pada November 2019, Pasukan Madame Tussauds mengambil masa selama enam jam untuk mendapatkan 200 ukuran Lee yang dilakukan dengan penuh teliti.

Menjadikan patung lilin itu lebih istimewa, Chong Wei turut menyumbangkan jersi rasmi yang dipakai beliau dalam penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik di Rio 2016, katanya.

Laman sesawang itu juga memuat naik beberapa gambar Chong Wei termasuk di sisi patung lilinnya di Madame Tussauds Singapura dan ketika bersama peminatnya pada sesi Bertemu Peminat.

Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau sangat teruja kerana akhirnya dapat mendedahkan patung lilinnya kepada peminat dari seluruh dunia.

"Banyak masa dan usaha telah diluangkan oleh pasukan di Madame Tussauds. Mereka begitu teliti dalam tugas menyiapkan patung saya dan saya sangat berterima kasih atas peluang ini," kata Chong Wei.

Menurut Madame Tussauds Singapore, syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly adalah rakan kongsi rasmi untuk pelancaran itu.

Peminat yang ingin melihat patung lilin Chong Wei boleh melayari laman sesawang Madame Tussauds Singapore di www.madametussauds.com/singapore untuk membeli tiket sebelum patung lilin itu terbang ke Hong Kong dan kekal dipamerkan di sana. - Bernama