Cagamas perkenal Skim Saraan Bercagar Islamik untuk warga emas

SSB-i yang dilancarkan Cagamas merupakan pembiayaan gadai janji berbalik Islam yang pertama di dunia untuk pemilik kediaman warga emas.
SSB-i yang dilancarkan Cagamas merupakan pembiayaan gadai janji berbalik Islam yang pertama di dunia untuk pemilik kediaman warga emas.
A
A
A

CAGAMAS Bhd pada Khamis memperkenalkan Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i), pembiayaan gadai janji berbalik Islam yang pertama di dunia untuk pemilik kediaman warga emas.

SSB-i yang mematuhi prinsip syariah bertujuan untuk membantu warga emas membiayai persaraan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd, Datuk Chung Chee Leong berkata, pelancaran SSB-i membolehkan perbadanan gadai janji nasional itu meningkatkan tawaran gadai janji berbaliknya bagi menarik minat pasaran tempatan.

"SSB-i menawarkan alternatif kepada pemilik kediaman warga emas memilih penyelesaian pembiayaan yang patuh syariah.

"Skim ini menunjukkan komitmen berterusan kami untuk menyokong pembangunan kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

SSB-i merupakan kemudahan pembiayaan gadai janji berbalik Islam yang membolehkan warga emas berumur 55 tahun ke atas, memanfaatkan nilai rumah mereka yang dibayar penuh dan menukarnya kepada pembayaran tunai secara bulanan untuk menambah dana persaraan mereka sehingga umur 120 tahun, tanpa mengorbankan status pemilikan rumah.

SSB-i ialah skim yang berdasarkan transaksi komoditi berasaskan jualan, di bawah konsep Syariah Komoditi Murabahah melalui pengaturan Tawarruq.

Skim tersebut diberikan pengecualian duti setem yang sama seperti SSB sehingga akhir 2023.

Artikel Berkaitan:

Cagamas berkata, bermula hari ini (Khamis) SSB dan SSB-i tersedia untuk pemilik rumah warga emas di Johor Bahru dan Pulau Pinang, selain dari Lembah Klang.

Pemohon yang berminat boleh mengunjungi cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditetapkan dalam laman web SSB untuk pertanyaan kelayakan dan membuat temu janji dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan nasihat kewangan gadai janji berbalik.

Chung berkata, dengan sambutan positif yang diperoleh semasa diperkenalkan di Lembah Klang, Cagamas akan terus bekerjasama dengan KWSP dan AKPK dalam membawa produk gadai janji berbaliknya ke pasaran.

"Kami akan terus menilai pengembangan SSB dan SSB-i ke bandar-bandar lain di Malaysia.

"SSB dan SSB-i mewakili usaha berterusan Cagamas untuk menangani jurang kewangan di pasaran dengan peruntukan awal RM100 juta bagi membantu pesara memanfaatkan nilai rumah mereka dengan selamat serta menerima bayaran bulanan yang terjamin sepanjang hayat mereka,” tambah beliau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!