Hanya mahkamah boleh tentukan salah laku pilihan raya: SPR

Azhar Azizan Harun - Foto ADAM AMIR HAMZAH
Azhar Azizan Harun - Foto ADAM AMIR HAMZAH
A
A
A
SEREMBAN - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menegaskan suruhanjaya itu tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap laporan salah laku dalam pilihan raya.

Beliau berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Sebab itu kita minta mana-mana pihak termasuklah pihak media untuk membuat laporan jika ada maklumat salah laku dalam tempoh kempen pilihan raya.

"Ia bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan jika didapati terdapat pelanggaran pilihan raya, mahkamah yang tentukan sama ada salah atau sebaliknya," katanya pada sidang media ketika melawat pusat pengundian awal di Balai Polis Rantau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian suruhanjaya itu berhubung tindakan kerajaan mengumumkan projek pembangunan ketika kempen PRK DUN Rantau.

Katanya, masih ramai yang tidak jelas mengenai fungsi dan tugas SPR.

"Apa yang saya boleh katakan, jika ada salah laku yang dikesan buat laporan polis untuk membolehkan tindakan diambil. Saya hanya boleh memberi nasihat," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berucap pada program ceramah PRK DUN Rantau di Kuala Sawah di sini, beberapa hari lalu memberi bayangan Negeri Sembilan akan turut mendapat faedah sekiranya projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) diteruskan.

Katanya, jika projek itu boleh diturunkan harga kepada RM10 bilion akan ada berita baik bukan untuk negara tetapi untuk rakyat Negeri Sembilan.
Artikel Berkaitan: