Pemuda curi dua televisyen di bilik hotel dipenjara

Pemuda berusia 24 tahun dipenjara selama enam bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua buah televisyen di sebuah bilik hotel.
Pemuda berusia 24 tahun dipenjara selama enam bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dua buah televisyen di sebuah bilik hotel.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda berusia 24 tahun dipenjara selama enam bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencuri dua buah televisyen di sebuah bilik hotel.

Tertuduh, Muhammad Nurdanial Haiqal Mohd Jaffri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri dua buah televisyen yang berada di dalam bilik bernombor 309 dan 310 di sebuah hotel di Jalan Hamzah pada jam 10.30 pagi 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Sebelum itu Yusnaliza memohon mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh selepas mengambil kira kerugian yang dialami pemilik hotel tersebut.

Ariyani dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan hukuman yang ringan kerana percaya tertuduh sudah insaf dan sedar dengan kesalahan tersebut.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama enam bulan dan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda sebanyak RM2,000.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja lelaki yang mengemas dua buah bilik di hotel tersebut pada jam 10.30 pagi pada 10 Oktober lalu mendapati dua buah televisyen hilang sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak pengurusan hotel.

Penyelia hotel itu melihat rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah masuk ke dalam dua buah bilik dan membawa keluar dua buah televisyen bernilai RM800 melalui tangga di hadapan hotel itu.