Mayat hampir reput dilaporkan hilang minggu lalu

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PASIR SALAK - Wanita yang ditemukan hampir reput dalam semak di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tambun di sini pada Rabu sepadan dengan laporan yang diterima berkaitan orang hilang.

Mangsa berusia 23 tahun itu kali terakhir dilihat ketika keluar bekerja di sebuah kilang di Jelapang dekat Ipoh, minggu lalu.

Difahamkan, keluarga telah membuat pengecaman berdasarkan tatu pada tangan dan jari, telefon bimbit serta kasut yang dipakai mangsa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa sudah meninggal beberapa hari.

"Selepas penemuan mayat itu, kita melakukan semakan menerusi rekod orang hilang dan ada satu kes dilaporkan di Ipoh," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Amanita PDRM Perak di Taman Pelangi, Langkap di sini pada Khamis.

Taman Pelangi merupakan taman angkat Amanita kelapan di Perak Selepas Taman Sungai Rokam, Ipoh; Taman Wah Loon, Kampar; Taman Baru Jalong, Sungai Siput; Taman Fasa 2, Seri Manjung; Taman Gemilang, Seri Iskandar; Taman Chandan Puteri, Kuala Kangsar dan Taman Rakyat Kamunting, Taiping.

Mohd Yusri (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Langkap, Umar Musa pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM Perak, Langkap pada Khamis
Mohd Yusri (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Langkap, Umar Musa pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita PDRM Perak, Langkap pada Khamis

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,320 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak terlibat dalam unit berkenaan membabitkan 186 pegawai kanan polis dan 1,134 anggota.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum ditemukan di lokasi kejadian.

"Pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian (motif) termasuk punca kematian mangsa, kenapa dia dibunuh dan lokasi sebenar dia dibunuh.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

Media pada Rabu melaporkan polis menemui mayat wanita ketika menyiasat kemalangan membabitkan sebuah kereta terbabas di lokasi kejadian.

Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati mangsa dipercayai mati dibunuh apabila hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa adalah akibat dicekik.