Tidak timbul soal Sabah diserahkan kepada Filipina

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak timbul persoalan Sabah akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Republik Filipina kerana Malaysia akan sentiasa mempertahankannya, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau, isu mengenai negeri itu hanya ditimbulkan oleh sesetengah ahli politik Filipina tanpa melibatkan pendirian sebenar republik berkenaan.

Keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris telah diserahkan oleh penimbang tara Dr Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 yang bertujuan untuk mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah ASD14.92 bilion.

“Saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Junaidi berkata demikian sebagai merujuk kepada soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen, Kota Kinabalu, Chan Foong Hin pada 6 Oktober lalu berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, beliau dalam sesi Parlimen menyatakan bahawa kerajaan akan mula bertindak sekiranya Filipina memberikan reaksi secara rasmi terhadap perkara tersebut.

Pada masa sama, Wan Junaidi memberitahu, pihak tersebut sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara.

“Proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: