Langkah tegas dalam pemerkasaan profesionalisme: PFAM

No Image Caption
A
A
A

KEPUTUSAN First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak memberi lesen kepada Melaka United dan Sarawak United untuk berkasi di Liga Super pada musim depan susulan isu tunggakan gaji disambut baik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

PFAM dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan itu dianggap tepat dalam menghormati dan menjaga kebajikan pemain sekaligus memberi isyarat dan amaran buat pasukan lain agar tidak memandang remeh dengan isu tunggakan gaji.

"Sebagai sebuah organisasi yang mementingkan pembelaan terhadap kebajikan pemain bola sepak profesional di Malaysia, tindakan yang diambil oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dapat dilihat sebagai suatu penanda aras untuk mengelakkan risiko masalah kebajikan yang dihadapi oleh para pemain untuk terus berulang pada musim yang akan datang.

"Perkara ini sedikit sebanyak dapat mengetengahkan kepentingan suara pemain dalam menentukan kelangsungan sesebuah kelab bagi menjamin persekitaran yang bebas daripada sebarang bentuk masalah kebajikan terutamanya mengenai pembayaran gaji.

"Di pihak PFAM, kami sentiasa bersedia dan terbuka untuk menjalinkan apa apa bentuk kerjasama daripada pihak FAM dan MFL bagi membantu serta membela nasib para pemain yang terkesan secara langsung daripada situasi ini," kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Sarawak dan Melaka gagal meraih lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan FIB.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak muncul pasukan paling bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan manakala Melaka pula hanya satu dengan masalah utama berkaitan kegagalan melunaskan tunggakan gaji sehingga Ogos 2022.

Bagaimanapun, pasukan tersebut diberi peluang untuk membuat rayuan bermula hari ini sehingga 19 Oktober ini dengan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang yang berbaki tujuh hari lagi.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini jelas membuktikan sekiranya sesebuah kelab mempunyai masalah tunggakan gaji terhadap pemain atau mempunyai keputusan di peringkat Fifa yang perlu dipatuhi akan menjadi punca kegagalan untuk mendapatkan lesen tersebut," kata PFAM itu lagi.