Pemimpin digesa kekal sokong RUU kawalan tembakau: MCTC

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa semua pemimpin yang bakal dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti supaya terus menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang telah dibuat bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ini kerana, MCTC bersama 38 badan gabungan di bawahnya, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama 41 badan gabungan di bawahnya dan 128 badan bukan kerajaan (NGO) lain memandang serius isu merokok yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita.

MCTC dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya juga begitu terkilan susulan RUU yang telah dibuat bacaan pertama pada Julai dan kedua pada Ogos lalu serta telah dimuktamadkan pindaan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen pada awal bulan ini tidak dapat diteruskan susulan pembubaran Parlimen yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Isnin.

"RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang telah dibentangkan merupakan undang-undang yang terbaik yang telah digubal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak Jabatan Peguam Negara dalam sejarah kawalan tembakau semenjak Malaysia menganggotai WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) pada tahun 2005.

"Undang-undang ini dibuat untuk mengawal masalah penggunaan rokok termasuk rokok elektronik yang semakin mencengkam dalam masyarakat terutama kanak-kanak, remaja dan belia digandingkan dengan larangan penggunaan dalam kalangan generasi akan datang sepatutnya diluluskan awal lagi.

"Penangguhan kelulusan RUU ini bermaksud kawalan terhadap lambakan rokok elektronik atau vape akan semakin berleluasa dan bayangkan berapa ramai lagi kanak-kanak, remaja sekolah dan belia akan terjebak dengan masalah ini selagi sekatan terhadap penjualan terutama penjualan dalam talian, larangan pengiklanan sebagaimana larangan kepada rokok dan produk tembakau tidak dapat dilaksanakan di bawah undang-undang ini," katanya.

Tambah kenyataan itu, semua pihak seharusnya sedia maklum bahawa kajian menunjukkan 27,000 kematian berlaku setahun di Malaysia akibat merokok.

"MCTC yakin bahawa pemimpin yang akan dipilih nanti tidak akan membiarkan rakyat terus menyabung nyawa mereka dengan amalan berisiko khususnya penggunaan rokok elektronik yang telah terbukti menyebabkan komplikasi penyakit EVALI (Electronic Vape product-use Associated Lung Injury)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru pihaknya menggesa semua bakal pemimpin yang akan dipilih rakyat dalam PRU15 yang akan diadakan akan lebih prihatin dengan masalah merokok.

"Kami juga menggesa agar RUU ini sebagaimana pindaan yang telah dipersetujui oleh 13 mantan ahli Parlimen yang mewakili semua parti politik di bawah Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan sebelum pembubaran Parlimen diumumkan segera diluluskan demi kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.