Rela bukan sekadar 'jaga' kenduri

Anggota Rela melafaz ikrar pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KPRK dan KPR Kepada 113 Anggota Rela di Auditorium Kompleks KDN Jalan Duta hari ini. Foto Bernama
Anggota Rela melafaz ikrar pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan KPRK dan KPR Kepada 113 Anggota Rela di Auditorium Kompleks KDN Jalan Duta hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bukan sekadar menjaga keselamatan di majlis-majlis keraian, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) merupakan elemen penting dalam menjaga keamanan negara.

Ketua Pesuruhjaya Rela, Datuk Yahya Sulaiman berkata, aset utama jabatan itu adalah pada jumlah sukarelawan yang sentiasa bersiap siaga dikerahkan bagi sebarang penugasan seperti kawalan semasa pilihan raya, kawalan sempadan dan bantuan di zon bencana.

"Jika diperlukan kami akan gerakkan anggota untuk jaga di luar perimeter kawasan pusat pembuangan undi serta penugasan lain jika diperlukan dan buat masa ini kita sedang berbincang untuk menentukan tugasan apa yang memerlukan bantuan Rela.

"Bagi bencana banjir pula kita terlibat penugasan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan sedia kerahkan 4,300 sukarelawan serta bermula 15 Oktober ini kita mula penugasan fasa monsun timur laut," katanya, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) dan Ketua Platun Rela (KPR) yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Mengulas mengenai persiapan banjir, Yahya berkata, anggota Rela akan ditempatkan di lokasi-lokasi 'hotspot' untuk membuat pemantauan dan setiap pegawai pegawai Rela diarahkan untuk bekerjasama dengan ketua polis daerah masing-masing.

"Bencana banjir ini kita memang sentiasa sedia, ianya bukan perkara baru. Jumlah anggota terlibat buat masa ini kita akan ikut keperluan, kalau perlu tambah kita akan tambah tiada jumlah tetap," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, menerusi kerjasama utuh semua pihak, beliau percaya pegawai dan anggota Rela mampu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tugas-tugas menjaga ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setiap sukarelawan yang menyarung seragam Rela merupakan individu yang mempunyai semangat patriotik tinggi untuk menjaga ketenteraman awam yang merupakan elemen penting dalam pembangunan ekonomi negara.

"Untuk membangunkan negara, kita mesti pastikan keselamatan negara terjaga barulah pelabur asing yakin untuk masuk ke dalam negara kita.

"Sebab itu kita perkara utama kita pastikan adalah keselamatan dan mesti buktikan anggota rela mampu menjaga keselamatan negara," tegasnya.