Kapal tunda ditahan bersauh tanpa kebenaran

Maritim Selangor menahan sebuah kapal tunda bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan pada petang Selasa.
Maritim Selangor menahan sebuah kapal tunda bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan pada petang Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tunda bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan kira-kira jam 1.30 petang Selasa.

Pengarah Maritimnya, Kepten V Siva Kumar berkata, penahanan itu hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 16.7 batu nautika barat daya Sekinchan pada jam 11.01 pagi.

Menurut beliau, hasil siasatan pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, bot tunda itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Bot Maritim Malaysia BENTENG 01 yang sedang melaksanakan rondaan telah diatur gerak ke lokasi seterusnya menahan kapal tunda berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Siva Kumar memberitahu, hasil pemeriksaan awal mendapati kapal tunda itu dikendalikan oleh 16 kru warga China yang kesemuanya mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Bagaimanapun katanya, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Pemeriksaan mendapati kapal tunda itu melakukan kesalahan melanggar peraturan di bawah Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perintah penahanan ke atas kapal tersebut dikeluarkan dan kapten serta seorang kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

"Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara," jelas beliau.

Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah Maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera.