Final Piala AFC guna VAR

KL City akan menentang Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober ini. - Foto Kuala Lumpur City
KL City akan menentang Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober ini. - Foto Kuala Lumpur City
A
A
A

VIDEO bantuan pengadil (VAR) sah akan digunakan buat kali pertama di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang kelab Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard sambil memberitahu penggunaan VAR itu merupakan syarat dikenakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada tuan rumah sekiranya mahu menganjurkan perlawanan akhir tersebut.

Selain itu katanya, AFC turut meletakkan syarat supaya lampu limpah stadium perlu sekurang-kurangnya mencapai tahap 1800 Lux.

“Bagi aksi final Piala AFC nanti, penganjur meletakkan piawaian supaya stadium yang akan digunakan perlu menggunakan VAR dan lampu limpah sekurang-kurangnya 1800 Lux. Bagi teknologi VAR, ia sudah dalam perjalanan untuk dibawa ke Malaysia

“Ini sudah tentu perkembangan yang bagus kerana ia akan memartabatkan lagi bukan sahaja bola sepak Kuala Lumpur tetapi seluruh Malaysia.

“Saya akui amanah yang diberikan ini agak berat, tapi kami sebagai hos perlawanan akhir akan cuba memberikan fasiliti yang terbaik pada perlawanan akhir nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan venue yang bakal menjadi pilihan untuk perlawanan akhir Piala AFC, Stanley tidak menolak kemungkinan menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kalau kita lihat apa yang dimahukan AFC untuk perlawanan akhir nanti, saya rasa Stadium Bukit Jalil antara stadium yang menepati piawaian.

Artikel Berkaitan:

“Apa-apa pun kami akan membincangkan perkara tersebut dan mungkin pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” ujarnya.