SPR digesa tetap tarikh mudahkan mahasiswa mengundi: PKPIM

Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Ahmad Farhan Rosli)
Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Ahmad Farhan Rosli)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh-tarikh penting bagi memudahkan mahasiswa terlibat dalam proses pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, faktor tersebut termasuk cuti pertengahan semester universiti dan tarikh pelaksanaan konvokesyen membabitkan sebahagian besar universiti tempatan yang akan diadakan pada November ini.

Beliau berkata, SPR mempunyai kuasa mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang dalam proses perjalanan pilihan raya meliputi tarikh penamaan calon, tempoh berkempen, tarikh undi awal serta hari pengundian.

"Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar SPR menetapkan hari mengundi pada Sabtu atau Ahad bagi memberi ruang kepada mahasiswa, pengundi muda dan seluruh rakyat Malaysia untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam pilihan raya kali ini.

"Berdasarkan rekod sebelum ini, hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah diadakan pada hari Ahad dan Sabtu.

"Kali terakhir Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada hari bekerja adalah pada 2018 di mana tarikh pengundian jatuh pada hari Rabu, 9 Mei 2018," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ahmad Farhan berkata, penetapan hari mengundi yang rasional dapat menyumbang kepada peningkatan peratusan keluar mengundi.

"Untuk rekod, PRU14 yang lalu mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu sebanyak 82.32 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, perkara itu juga jelas penting kerana mahasiswa merupakan sebahagian besar daripada lebih 5.74 juta pengundi muda berusia 18 hingga 30 tahun yang layak mengundi pada PRU15.

"PKPIM berharap pihak SPR dapat menimbang cadangan ini bagi memastikan setiap rakyat dapat sama-sama terlibat dalam proses terpenting menentukan masa depan negara bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.