Gesa SPR beri hak sama rata 2.5 juta pengundi potensi undi pos

Bersih menggesa SPR memberi hak undi pos sama rata kepada kira-kira 2.5 juta pengundi yang kemungkinan tidak dapat hadir mengundi.
Bersih menggesa SPR memberi hak undi pos sama rata kepada kira-kira 2.5 juta pengundi yang kemungkinan tidak dapat hadir mengundi.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi hak undi pos sama rata kepada kira-kira 2.5 juta pengundi yang kemungkinan tidak dapat hadir mengundi.

Bersih menjelaskan sebagaimana hak undi pos yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia di luar negara, hak sama perlu diberi kepada pengundi Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung, serta pengundi Malaysia Barat yang tinggal di wilayah Borneo.

"Bersih menggesa SPR untuk segera membuka permohonan undi pos kepada semua rakyat Malaysia di luar negara dan memberikan hak undi tidak hadir kepada pengundi Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung, sebagaimana pengundi Malaysia Barat yang tinggal di wilayah Borneo. Langkah ini berpotensi memberikan hak kepada 2.5 juta pengundi.

"Walaupun risiko banjir dan bajet, Bersih menyeru semua pengundi untuk keluar mengundi. Peratusan mengundi yang tinggi akan mengabsahkan Parlimen ke-15 di mana ahli-ahli Parlimen (MP) yang dipilih benar-benar mewakili majoriti pengundi dan kerajaan baharu yang terbentuk diyakinkan bahawa majoriti pengundi menyokong mereka.

"Selain mengundi, rakyat juga perlu menuntut parti politik dan calon-calon untuk berazam mereformasi institusi bagi menstabilkan politik selepas PRU15, antara lain yang mustahak, reformasi Jabatan Peguam Negara dan pendanaan awam kepada parti politik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, dalam kenyataan sama, Bersih menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon pembubaran Parlimen lebih awal.

Bersih juga kesal PRU15 bakal dilaksanakan sebelum Bajet 2023 diluluskan.

"Hal ini adalah satu penghinaan kepada Parlimen apabila 'gula-gula' dalam bajet ditayangkan kepada orang ramai sebagai manisan pilihan raya parti Perdana Menteri walaupun bajet ini tidak melalui perbahasan Parlimen untuk diteliti merit dan kosnya.

Artikel Berkaitan:

"Bersih bimbang parti manapun yang berkuasa nanti, mereka perlu membentangkan semula bajet ini, sama ada yang sama atau yang lain. Ini akan menjadi titik krisis yang mungkin menyebabkan kejatuhan kerajaan baharu sekiranya bajet tersebut tidak diundi oleh parti gabungannya," katanya.

Pada masa sama, Bersih memuji pendirian yang diambil enam kerajaan negeri yang tidak akan membubarkan DUN kali ini sebagai konvensyen untuk mengutamakan usaha bantuan banjir.

"Negeri-negeri ini dikawal oleh Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikawal oleh Pas.

"Enam negeri tersebut perlu berunding dan mengumumkan tarikh pembubaran yang sama antara 25 Jun (pembubaran automatik untuk Selangor) dan 1 Ogos (Pulau Pinang) bagi menetapkan konvensyen perlembagaan baharu bagi sesi dewan yang penuh dan mengelakkan rakyat berteka-teki bagi tarikh pilihan raya," katanya.