Banjir: Biro mobilisasi PH siap sedia sukarelawan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Banjir buruk melanda Selangor hingga memberikan kesan trauma kepada ribuan mangsa hujung tahun lalu patut dijadikan iktibar dan diambil perhatian serius.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, bencana yang disebabkan oleh perubahan cuaca pada masa kini bukan lagi keadaan yang boleh dianggap sebagai normal dan disambut seperti sebuah pesta.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengingatkan semua pihak agar siap siaga menghadapi risiko banjir.

"Sebagai langkah bersiap-siaga, Biro Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) akan mengerahkan seramai mungkin sukarelawan membantu dan memastikan keselamatan mangsa banjir serta harta benda mereka.

"Pihak kami juga akan mempersiapkan jentera sukarelawan di semua peringkat beserta kelengkapan mantap yang boleh dikerahkan ke kawasan berisiko tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menghulurkan kepakaran dan bantuan.

"Langkah ini diharap dapat mengurangkan kemusnahan harta di tahap minimum pada banjir kali ini.

"Bagi mendapatkan tenaga sukarelawan lebih ramai, kami akan mengeluarkan borang pendaftaran yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mendaftar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan laporan ramalan hujan lebat berterusan yang boleh mengundang risiko bencana banjir.

Beberapa kawasan termasuk Sarawak telah mengalami tren kenaikan paras air sehingga menyebabkan banjir.