43 rumah musnah terbakar di Kudat

Sebahagian daripada rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Kapur, Kudat awal pagi Isnin.
Sebahagian daripada rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Kapur, Kudat awal pagi Isnin.
A
A
A
KUDAT - Sebanyak 43 rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Kapur dekat sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, dianggarkan seramai 43 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.28 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kudat dan Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran melibatkan 43 rumah jenis tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus di mana kedudukan rumah dalam keadaan rapat menyebabkan kebakaran mudah merebak.



"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan jentera bomba bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Air dan sumber air diperoleh dari pili bomba berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Kedudukan rumah dalam keadaan rapat menyebabkan kebakaran mudah merebak dalam kejadian di Kampung Tanjung Kapur, Kudat awal pagi Isnin.
Kedudukan rumah dalam keadaan rapat menyebabkan kebakaran mudah merebak dalam kejadian di Kampung Tanjung Kapur, Kudat awal pagi Isnin.



Dalam pada itu, Ishak berkata, hasil pemeriksaan awal tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian terbabit.

"Jumlah sebenar mangsa yang terjejas belum dapat dipastikan tetapi setakat ini, ia melibatkan 43 keluarga. Kita masih menunggu laporan daripada pihak ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk jumlah keseluruhan yang terjejas.

"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.21 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 6.43 pagi," ujarnya.

Artikel Berkaitan: