Ampang Jaya juara Purple League

Ampang Jaya merangkul kejuaraan sulung Sen Heng redOne Purple League 2022 di Genting Highlands. - Foto MPL.
Ampang Jaya merangkul kejuaraan sulung Sen Heng redOne Purple League 2022 di Genting Highlands. - Foto MPL.
A
A
A

PERSOALAN siapakah juara baharu bagi liga badminton profesional, Sen Heng redOne Purple League 2022 akhirnya terjawab apabila Ampang Jaya BC muncul juara selepas cemerlang menewaskan Petaling BC 9-2.

Kemenangan itu sekaligus menebus kekalahan 8-10 Ampang Jaya kepada Petaling pada perlawanan peringkat kumpulan minggu lalu.

Ampang Jaya mendapat rentak menerusi ayam tambatan mereka, Chou Tien Chen yang menewaskan Brice Leverdez 3-1 (11-10, 11-5, 9-11, 11-6) pada perlawanan pembukaan.

Jaguh perseorangan wanita, Goh Jin Wei juga cemerlang menewaskan lawannya dari Taiwan, Pai Yu-Po pada aksi kedua dengan keputusan memihak Ampang Jaya BC 3-1 (11-9, 11-6, 10-11, 11-9).

Ampang Jaya akhirnya mengesahkan kejuaraan apabila beregu lelaki dari Indonesia, Moh Reza Pahlevi-Sabar Karyaman Gutama mengejutkan Goh V Shem-Low Juan Shen 3-0 (11-9, 11-4, 11-6) sekaligus membawa pulang trofi dan wang tunai RM200,000.

Mengulas kejayaan sulung Ampang Jaya selaku juara, pengurus pasukan, Voon Siaw Yie nyata teruja dan terharu hasil kemenangan ini.

“Saya kehilangan kata-kata. Kami tidak menjangka untuk muncul juara kerana sedar tahap kekuatan pasukan. Namun, hasil usaha dan semangat keyakinan yang ada pada pemain telah membuktikan bahawa segalanya tidak mustahil untuk dikecapi.

“Sudah pasti, cabaran lebih besar akan menanti selepas ini iaitu untuk mempertahankan kejuaraan. Kami kini dilihat sebagai sebuah pasukan yang kuat dan perlu bersedia untuk mengatasi sebarang tekanan selepas ini,” tambah Siaw Yie.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong berkata, penganjuran kejohanan musim ini merupakan manifestasi keutuhan MPL selepas berdepan cabaran pandemik Covid-19 serta mahu menambah penyertaan dari kelab luar negara untuk edisi akan datang.

“Saya menganggap penganjuran edisi kali ini adalah berjaya. Sememangnya ada perancangan dari MPL untuk menarik lebih banyak penyertaan kelab luar negara untuk sama-sama merancakkan saingan liga badminton profesional di negara kita,” katanya,

Dalam pada itu, juara bertahan Puchong United BC mengubat kekecewaan selepas tewas di separuh akhir pada Sabtu apabila berjaya meraih tempat ketiga selepas menewaskan kelab dari Thailand, Sena Bangkok 10-5 pada sebelah pagi.

Naib juara, Petaling BC berpuas hati dengan wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Puchong United BC dan Sena Bangkok pula masing-masing membawa pulang RM60,000 dan RM40,000 berserta trofi.