Syria Care kumpul lebih 460 kotak pakaian musim sejuk

Saiful (depan tiga dari kanan) bersama kotak pakaian musim sejuk yang berjaya dikumpulkan di bawah projek 'Warm Their Winter’ pada Ahad.
Saiful (depan tiga dari kanan) bersama kotak pakaian musim sejuk yang berjaya dikumpulkan di bawah projek 'Warm Their Winter’ pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Projek pengumpulan pakaian musim sejuk untuk pelarian Syria atau dikenali sebagai 'Warm Their Winter’ mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpul lebih daripada 460 kotak pakaian terpakai yang disasarkan.

Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdieana Mohd Mardzi berkata, untuk aktiviti pengumpulan bantuan di Laman 83, Bukit Jelutong di sini yang berlangsung selama seminggu bermula 2 Oktober lalu, pihaknya mendapat sumbangan sebanyak 576 kotak pakaian terpakai.

“Sambutan yang kami terima sepanjang minggu ini sangat luar biasa. Ada yang datang dari Kedah, Perak.

Nurdieana
Nurdieana

“Syria Care ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang menjayakan projek ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Nurdieana berkata, kontena pertama yang membawa 460 kotak pakaian untuk pelarian Syria itu dijangka tiba di Turkiye dalam tempoh sebulan iaitu pada pertengahan November.

Katanya, lebihan 104 kotak pula akan dibawa ke pusat pengumpulan kedua yang akan dibuka di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Pagoh, Johor bermula 17 hingga 24 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Sukarelawan menyusun kotak pakaian ke dalam kontena di Laman 83, Bukit Jelutong pada Ahad.
Sukarelawan menyusun kotak pakaian ke dalam kontena di Laman 83, Bukit Jelutong pada Ahad.

Nurdieana turut memaklumkan usaha mengumpulkan dana bagi menampung pengurusan penghantaran dua kontena pakaian musim sejuk di bawah projek itu baru mencapai 30 peratus daripada RM114,000 yang disasarkan.

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan terhadap kira-kira 40 sukarelawan yang terlibat dalam memudahkan proses pengumpulan pakaian terpakai tersebut di Laman 83, Bukit Jelutong.

Beliau turut berkongsikan ucapan terima kasih kepada rakan artis yang tampil menyokong usaha tersebut antaranya penyanyi Khai Bahar; kumpulan nasyid, Rabbani; pelakon, Datin Nina Juren; pasangan pelakon Zahiril Adzim dan Shera Ayob; pengacara Ally Iskandar serta pelawak, Saiful Apek.

Saiful bersama sukarelawan di hadapan kontena yang akan menghantar kotak pakaian tersebut ke Syria melalui Turkiye.
Saiful bersama sukarelawan di hadapan kontena yang akan menghantar kotak pakaian tersebut ke Syria melalui Turkiye.

“Tidak dilupakan juga kepada rakan media dan rakan kerjasama bagi projek iaitu Yayasan Ez Prihatin dan Sinar Karangkraf yang membantu menyebar luas projek ini,” ujarnya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan sumbangan pakaian terpakai dan dana di bawah projek berkenaan boleh didapati melalui hotline ‘Warm Their Winter’ di talian 011-1136 2567 (Zana), 013-971 5901 (Fayyadh) dan 011-3703 0900 (Nisa).

Orang ramai juga boleh layari laman sesawang www.syriacare.org.my/warmtheirwinter atau ikuti media sosial Syria Care Malaysia di Facebook, Instagram dan Twitter serta Syria Care Media di YouTube dan TikTok untuk mendapat perkembangan terkini projek berkenaan.