VSN2030 perancangan baharu pembangunan sukan negara: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada sambutan Hari Sukan Negara di Dataran Putrajaya. - Foto Bernama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada sambutan Hari Sukan Negara di Dataran Putrajaya. - Foto Bernama.
A
A
A
PUTRAJAYA - Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030) akan menjadi hala tuju dan perancangan baharu pembangunan sukan negara yang dipetakan secara komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, VSN2030 akan memberikan nafas baharu buat arena sukan negara dengan konsep 'Daripada Komuniti Kepada Komuniti' melibatkan seluruh Keluarga Malaysia bagi merencana strategi sukan negara untuk 10 tahun ke hadapan.

"Ia juga meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat serta melahirkan jaguh- jaguh berkelas dunia dan akan menjadi dokumen rasmi kerajaan dalam pembangunan sukan tanah air,” katanya ketika melancarkan VSN2030 sempena Hari Sukan Negara Tahun 2022 (HSN2022) di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, VSN2030 merupakan sebuah dokumen dasar yang berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

"Dokumen ini akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia untuk terus gemilang sehingga tahun 2030,” katanya.

Ismail Sabri dalam pada itu turut meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berusaha meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan melalui beberapa usaha proaktif.

Antaranya adalah dengan menawarkan biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula dari peringkat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan.

Bekas atlet yang berkemahiran pula dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID), katanya.

"Menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Ismail Sabri berkata, semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, iaitu jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan sukan elektronik juga akan turut disenaraikan.