'Risau ada atur perlawanan'

Jadual format pusingan 16 timbal balik pada Piala Malaysia 2022. Gambar kecil: Irfan
Jadual format pusingan 16 timbal balik pada Piala Malaysia 2022. Gambar kecil: Irfan
A
A
A

UNDIAN Piala Malaysia 2022 menyaksikan kesemua pasukan Liga Super kecuali juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh merancang memilih pasukan mana yang mahu ditemui pada aksi pusingan 16 terbaik nanti.

Situasi itu secara tidak langsung didakwa mewujudkan persaingan tidak sihat kerana ada pasukan akan mencatur strategi masing-masing untuk mengelak berdepan lawan yang kuat dalam aksi timbal balik itu nanti.

Malah, pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti berkata, undian ‘separuh masak’ itu bakal memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan untuk mencongak langkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

“Saya sebenarnya tidak faham apa keperluan MFL buat undian Piala Malaysia lebih awal tetapi ada pasukan yang bertanding masih belum mengetahui lawan yang mereka akan jumpa.

“Awalnya saya difahamkan pasukan-pasukan bertanding akan tahu lawan mereka sejurus selepas tamat Liga Super, yang mana undian semalam (Khamis) berdasarkan kedudukan akhir setiap pasukan.

“Bagi saya, ini akan beri kelebihan terutamanya pasukan Liga Super kerana boleh merancang siapa lawan mereka.

Sebagai contoh, kalau kita lihat kedudukan di Liga Super ketika ini, selain JDT, semua pasukan mampu untuk ubah kedudukan.

“Jadi, saya risau mungkin akan berlaku persaingan tidak sihat sebab ada pasukan boleh mengatur perlawanan bagi mengelak jumpa lawan yang kuat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

MFL mengambil pendekatan unik apabila menjalankan undian Piala Malaysia 2022 lebih awal, sekali gus menyaksikan pasukan Liga Super kecuali JDT hanya akan mengetahui siapa lawan mereka selepas liga berakhir.

Berbeza dengan lima pasukan Liga Premier, mereka sudah mengetahui kedudukan masing-masing, namun lawan akan ditemui daripada pasukan Liga Super dilihat masih ‘misteri’.

Dalam pada itu, Irfan menegaskan, undian Piala Malaysia yang dijalankan secara maya di laman rasmi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut menjejaskan persiapan pasukannya terutama dari segi logistik.

Menurutnya, Kuching City mungkin akan bertemu sama ada Sarawak United atau Penang FC pada pusingan 16 terbaik berdasarkan undian yang berlangsung pada Khamis.

“Kami sendiri turut menerima tempias hasil undian itu kerana kami tidak tahu lawan yang kami akan tentang kerana berdasarkan pengiraan semasa, kami mungkin akan berjumpa sama ada Sarawak atau Penang.

“Jadi, kami tidak boleh buat perancangan awal kerana masih belum tahu siapa lawan kami. Sebaik-baiknya biarlah undian diadakan selepas habis liga, jadi tak timbul isu,” ujarnya.