TH teruskan bantuan kewangan haji bersasar

Lembaga Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar yang dibiayai daripada pendapatan pelaburan kepada semua bakal jemaah haji muassasah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bantuan itu akan diteruskan walaupun kos haji dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 bagi seorang jemaah pada tahun hadapan berbanding RM28,000 tahun ini.

"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan terus menyokong usaha kerajaan serta bekerjasama untuk memperkasakan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi sebarang risiko masa hadapan yang tidak menentu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Bajet 2023 merupakan bajet komprehensif bertujuan membantu Keluarga Malaysia.

"Kita menyambut baik Bajet 2023 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada hari ini.

"Bajet 2023 bertemakan responsif, bertanggungjawab dan reformis terus memberikan sokongan besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Selain melindungi kebajikan rakyat yang terkesan dengan inflasi dan ekonomi global yang dijangka lemah pada tahun 2023," katanya.

Artikel Berkaitan: