Mohamad sambut baik kerajaan selesai masalah projek PR1MA

Mohamad Hasan pada sidang media di Pusat Gerakan BN hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyambut baik tindakan kerajaan menyelesaikan masalah projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Rantau yang lewat siap.

Calon PRK DUN Rantau itu berkata bukan sahaja projek PR1MA malahan semua projek di bawah agensi kerajaan yang berhadapan masalah juga perlu diselesaikan.

"Baguslah.. Ramai pembeli terutamanya mereka yang 'makan gaji' dan meminjam daripada bank atau pun Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, mereka terbeban sekarang," katanya pada sidang media harian di Bilik Gerakan BN, di sini, hari ini.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden UMNO, mengulas kenyataan kerajaan menyatakan projek itu akan disiapkan pada Mei 2020 dengan mengekalkan kontraktor yang sama iaitu Bina Terbit Sdn Bhd.

Sementara itu, Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk merampas tanah milik individu di negeri ini, jika mendapati ia dimiliki dengan cara salah dalam kerajaan terdahulu.

"Rampas jika betul dapati berlaku salah laku dan ketidakpatuhan prosedur pemilikan tanah itu. Kerajaan negeri memang ada hak dan kuasa berbuat demikian. Masa jadi Menteri Besar dulu, saya tidak meluluskan pemilikan tanah atas kapasiti peribadi. Boleh siasat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan kenal pasti kontraktor siapkan PR1MA Rantau: Zuraida

Beliau mengulas mengenai ceramah oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar pada sesi ceramah Pakatan Harapan (PH) di sini semalam, yang mendakwa Mohamad memberi tanah kepada kroni ketika menjadi Menteri Besar. -Bernama