GT Spice lancar kudapan panggang berjenama Minni

A
A
A

Chang Khim (tengah); Hasan Azhari Idris (kiri) dan Calvin bergambar di reruai Minni selepas Majlis Pelancaran Kudapan Panggang Jenama Minni sempena SIBS 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat
Chang Khim (tengah); Hasan Azhari Idris (kiri) dan Calvin bergambar di reruai Minni selepas Majlis Pelancaran Kudapan Panggang Jenama Minni sempena SIBS 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat

KUALA LUMPUR - Syarikat pengeluar rempah dan kudapan tempatan, GT Spice Manufacturers Sdn Bhd melancarkan produk kudapan panggang penuh inovatif melalui jenama Minni dalam usaha mewujudkan kelainan berbanding kudapan biasa.

Jenama baharu Minni diilhamkan daripada nama terakhir kedua-dua pengasas iaitu ‘Min’ dan ‘Ni’.

Pengasas GT Spice Manufacturers Sdn Bhd, Calvin Koh berkata, Minni menawarkan kudapan panggang santai dengan rasa premium dan aneka perisa diperbuat daripada kacang pis kuning berkualiti tinggi.

Menurut beliau, semua produk kudapan itu dipanggang, bukannya digoreng seperti snek kebiasaan kerana syarikatnya ingin memastikan kudapan itu memberi alternatif yang lebih sihat kepada pengguna selain boleh dinikmati secara terus.

Katanya, Minni menawarkan tiga perisa asli dan pedas iaitu Korean Spicy, Tangy Spicy dan Tomato BBQ manakala perisa kurang pedas bakal dilancarkan dalam beberapa bulan lagi.

“Hasil daripada penyelidikan pasaran yang meluas, produk Minni yang terawal berperisa pedas demi memenuhi cita rasa pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Ramai pengguna terutama golongan muda berminat dengan kudapan yang pedas. Namun, kami sedang berusaha untuk menawarkan lebih banyak kudapan yang kurang pedas dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kudapan Santai Panggang Jenama Minni yang disempurnakan oleh Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.

Chang Khim (tiga dari kiri) dan Hasan Azhari (tiga dari kanan) bergambar selepas Majlis Pelancaran Kudapan Panggang Jenama Minni sempena SIBS 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. Turut sama Calvin (kiri).
Chang Khim (tiga dari kiri) dan Hasan Azhari (tiga dari kanan) bergambar selepas Majlis Pelancaran Kudapan Panggang Jenama Minni sempena SIBS 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat. Turut sama Calvin (kiri).

Calvin menjelaskan, produk Minni juga mesra vegetarian (vegan) dan tidak mengandungi gluten serta mempunyai kelainan daripada produk terdahulu iaitu ‘Kacang Macha’.

“Minni menawarkan produk kudapan panggang manakala Kacang Macha menawarkan aneka muruku daripada pelbagai acuan berbeza.

“Jenama lain seperti 1001Rempah pula menawarkan barisan produk rempah yang boleh digunakan dalam masakan dan sebagai penyedap rasa,” jelas Calvin.

Sementara itu, ujarnya, sidang kemuncak antarabangsa itu menjadi salah satu strategi untuk memperkenalkan jenama Minni dalam pasaran tempatan, berfokus kepada rantaian runcit yang menawarkan aneka produk gaya hidup seperti EMART24, MIX.MY, BIG, Jaya Grocers, Village Grocers termasuk rantaian antarabangsa.

“Kami juga menyasarkan untuk melebarkan sayap ke pasaran rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2023, disusuli dengan pasaran Eropah pada tahun 2024,” ujarnya lagi.