Projek ENPHC akan diperluas ke 20 klinik kesihatan tahun ini

Dzulkefly Ahmad. - Foto Bernama
Dzulkefly Ahmad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan akan memperluaskan inisiatif projek Pengukuhan Penjagaan Kesihatan Primer (EnPHC) kepada 20 buah lagi klinik kesihatan tahun ini walaupun kajian projek perintis itu hanya siap September ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Perluasan ke lebih banyak klinik kesihatan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2019 di kementeriannya di sini hari ini.

Bertujuan meningkatkan pengesanan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan dyslipidaemia, projek rintis EnPHC telah dilaksanakan di 20 buah klinik kesihatan di Johor dan Selangor sejak Julai 2017.

EnPHC memastikan pendaftaran setiap penduduk di kawasan operasi dibuat, pengkalan data kesihatan dibangunkan, profil risiko dilaksanakan dan penduduk berisiko diberi intervensi awal mengikut tahap risiko.

Menurut Dr Dzulkefly, dalam tempoh satu tahun pelaksanaan EnPHC, jumlah penduduk yang telah didaftarkan adalah 309,472 orang iaitu 82 peratus daripada keseluruhan penduduk di kawasan operasi 20 buah klinik kesihatan yang terlibat.

Menurutnya, sebanyak 24.4 peratus atau 92,209 orang daripada mereka yang didaftar telah disaring untuk faktor risiko penyakit tidak berjangkit. -Bernama

Artikel Berkaitan: