PRU15: BN Johor tampil 60 peratus muka baharu

Hasni (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian pada Jumaat.
Hasni (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - BN Johor akan menampilkan seramai 60 peratus calon muka baharu untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 17 kerusi akan ditandingi UMNO, lapan MCA dan satu MIC.

"Dari segi jumlah muka baharu, saya yakin Johor dapat menampilkan tidak kurang 60 peratus muka baharu di 26 kerusi dan tidak kurang 30 peratus calon wanita.

"Johor tidak kurang tokoh dan tidak hadapi sebarang masalah, malah kita ada lebih calon yang berkebolehan dan mampu memberikan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Puteri UMNO Bahagian Pontian di sini pada Jumaat.

Pada 7 Oktober lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta setiap Pengerusi UMNO setiap negeri mengemukakan nama calon untuk bertanding pada PRU15 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing bermula Isnin ini.

Ahmad Zahid berkata, nama-nama itu akan diteliti oleh majlis tertinggi parti atau ‘Top 5’.

Dalam pada itu Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Benut mengumumkan beliau dilantik sebagai Pengarah PRU BN Johor, manakala Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengarah Operasi PRU BN.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lantikan itu dibuat ketika pertemuan tertutup bersama 40 ADUN BN di kediaman rasmi Menteri Besar Johor pada Rabu.