Wanita mengamuk isu air, ini jawapan AKSB

Gambar kiri: Bekalan air di rumah pengguna kembali pulih dan boleh digunakan seperti biasa. Gambar kanan: Schavivien memuat naik keluhannya berkaitan masalah air di akaun TikTok miliknya hingga menjadi tular.
Gambar kiri: Bekalan air di rumah pengguna kembali pulih dan boleh digunakan seperti biasa. Gambar kanan: Schavivien memuat naik keluhannya berkaitan masalah air di akaun TikTok miliknya hingga menjadi tular.
A
A
A

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan kawasan Machang Limbat di sini merupakan lokasi hujung bagi District Metered Area (DMA) Pasir Tumbuh yang mendapat bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Chicha melalui tangki Kubang Kerian.

Pengurus Besar AKSB, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed berkata, mengikut maklumat dari pengurus jajahan, tekanan air di kawasan berkaitan adalah dalam 3-6mh terutama apabila pengeluaran air kurang stabil dan konsisten ke tangki Kubang Kerian iaitu pada 28-31mld.

"Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, premis di kawasan hujung akan terkesan terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab tindakan seorang wanita yang dikenali sebagai Schavivien memuat naik keluhannya berkaitan masalah air di akaun TikTok miliknya sehingga tular dan mendapat 228,000 tontonan pada Khamis.

Azuhan berkata, hasil tinjauan dan pemeriksaan lanjut pada Khamis di premis pengadu mendapati bekalan air telah ada dan keluar melalui stand meter pengguna serta dapat digunakan secara normal seperti biasa.

"Difahamkan juga bahawa pada hari aduan dibuat bekalan air secara alternatif melalui lori air kontrak telah dihantar ke rumah pengadu.

"Untuk makluman, sebelum ini permintaan untuk penghantaran air juga pernah dibuat oleh pengadu sebagai contoh pada hari Jumaat (9 September) lalu, pihak AKSB melalui lori air kontrak juga menghantar bekalan air dengan segera pada hari yang sama," katanya.

Menurut beliau sekiranya terdapat permintaan penghantaran air yang tinggi di satu satu kawasan yang terjejas maka penghantaran air melalui lori air kontrak akan mengambil masa yang lebih panjang.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai usaha, empat buah telaga tiub baharu sedang dalam pembinaan di LRA Chicha dan dijangka siap pada akhir tahun ini. Segala kesulitan adalah dikesali dan AKSB sentiasa mencari jalan serta ikhtiar untuk memberi keselesaan dan perkhidmatan sebaik mungkin kepada para pengguna.

"Sepanjang sebarang gangguan bekalan air, di mana sahaja kawasan, bekalan air secara alternatif akan dan telah dibekalkan kepada pengguna melalui lori air kontrak dan lori tangki AKSB dan ianya adalah percuma," katanya

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pemilik akaun berkenaan gagal walaupun beberapa mesej telah ditinggalkan.